HONG KONG, 8 MAC – Cathay Pacific Airways Ltd berkata ia bersedia membina semula ekonomi ketika Hong Kong dibuka kepada pelawat global, meskipun melaporkan kerugian pada 2022.
Syarikat penerbangan itu melaporkan kerugian tahunan sebanyak 6.55 bilion dolar Hong Kong (AS$834.4 juta) untuk tahun berakhir 31 Disember peningkatan 18.5 peratus dalam kerugian berbanding 2021 di tengah sekatan ketat kemasukan ke bandar itu semasa separuh tahun pertama 2022.
Bagaimanapun, Cathay melihat pendapatannya bertambah 12 peratus kepada 51 bilion dolar Hong Kong (AS$6.5 bilion), dan juga mencatat keuntungan operasi sebanyak 3.55 bilion dolar Hong Kong buat pertama kalinya sejak 2019 ketika peraturan kuarantin di Hong Kong dilonggarkan pada separuh tahun kedua 2022.
“Tahun 2022 adalah satu lagi tahun mencabar untuk Kumpulan Cathay Pacific disebabkan sekatan perjalanan berpunca daripada pandemik COVID,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cathay, Ronald Lam dalam satu kenyataan. “Bagaimanapun, kami berasa teruja melihat prestasi kukuh pada separuh tahun kedua 2022, dan momentum positif telah berterusan hingga 2023.”
Cathay menyumbang kerugian besar pada 2022 kepada keputusan daripada sekutunya, termasuk Air China, yang ‘mencerminkan kesan berterusan krisis COVID ke atas pelaburan China,” kata Pengerusi Cathay, Patrick Healy semasa sidang media hari ini. – AP


