HONG KONG, 6 OGOS – Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific mengumumkan hari ini bahawa ia akan membuat tempahan bernilai AS$8.1 bilion bagi 14 pesawat Boeing, iaitu tempahan pertamanya dengan pengeluar pesawat Amerika Syarikat (AS) itu dalam lebih sedekad.
Dalam pemfailan kepada Bursa Saham Hong Kong, Cathay berkata ia akan ‘membeli 14 pesawat Boeing 777-9’ dan telah ‘mendapat hak untuk memperoleh sehingga tujuh lagi pesawat Boeing 777-9.’
Cathay kini mempunyai lebih daripada 230 pesawat, kebanyakannya pesawat penumpang.
Tempahan baharu itu dijangka diterima menjelang tahun 2034, menurut pemfailan berasingan.
Cathay merupakan antara pelanggan terawal yang menyertai program Boeing 777X apabila ia mengumumkan pembelian 21 pesawat tersebut pada tahun 2013.
Boeing dalam satu kenyataan berkata perjanjian baharu itu menjadikan jumlah tempahan untuk pesawat 777-9 – ‘pesawat berkembar enjin terbesar di dunia’ – kini mencecah 35 unit.
Pesawat itu direka bagi mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon, dan menurut Boeing, ia akan memenuhi permintaan perjalanan global Cathay yang semakin meningkat. – AFP


