HONG KONG, 31 DIS – Syarikat penerbangan Cathay Pasifik Hong Kong menangguhkan penerbangan kargo selama seminggu disebabkan syarat-syarat kuarantin yang lebih ketat untuk kru udara, berpotensi menambah tekanan kepada rantaian bekalan sedunia.
Penerbangan jarak jauh ke Eropah, merentasi Pasifik dan menuju ke Riyadh dan Dubai telah ditangguhkan sehingga 6 Januari dan syarikat penerbangan itu berkata kelmarin bahawa ia berjanji untuk cuba membantu para pelanggan ‘mengurangkan gangguan’.
Tenaga kerja syarikat penerbangan itu berdepan tekanan selepas kuarantin untuk kru penerbangan Cathay Pasifik yang pulang dari luar negara dilanjutkan kepada seminggu di bilik hotel daripada tiga hari.
Pengumuman kelmarin tidak memberikan butiran, tetapi akhbar The South China Morning Post berkata kuarantin yang lebih lama akan meninggalkan Cathay tanpa juruterbang yang mencukupi untuk semua penerbangannya.
Syarikat penerbangan itu sebelum ini meminta kakitangan untuk menawarkan ‘sistem tertutup’ di mana mereka akan bekerja selama tiga minggu dengan persinggahan sementara di Hong Kong, tetapi tidak ramai yang bersetuju, menurut laporan berita.
Pihak Cathay berkata sebelum ini ia akan mengurangkan jadual penerbangan penumpangnya dalam tiga bulan pertama pada tahun 2022 kerana kekurangan kakitangan.
Hari ini, syarikat penerbangan itu berkata lima orang kru udara diuji positif varian koronavirus Omicron selepas pulang dari luar negara.
Ia menyalahkan ‘pelanggaran protokol yang serius’ oleh pekerja tersebut dan berkata ia akan membawa kepada disiplin yang tidak dinyatakan. – AP
