Thursday, January 16, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    CATL rancang penyenaraian di HK

    HONG KONG, 15 JAN – Pengeluar bateri kenderaan elektrik (EV) terbesar dunia, Contemporary Amperex Technology Co Limited (CATL) dari China, sedang meneruskan rancangannya untuk disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong (HK), dengan laporan menyebut beberapa bank sedang bersaing untuk mengendalikan urus niaga yang dijangka mengumpul sekurang-kurangnya AS$5 bilion.

    CATL, yang menghasilkan lebih daripada satu pertiga bateri EV yang dijual di seluruh dunia, menyatakan ia berhasrat untuk ‘disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong’ dalam usaha mengembangkan operasi global dan menyokong peralihan tenaga.

    “Langkah ini bertujuan untuk mencipta platform pembiayaan antarabangsa bagi menyokong pembangunan perniagaan global kami dengan lebih baik,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada AFP kelmarin.

    “Kami mempunyai dana tunai dan sumber kewangan yang mencukupi untuk keseluruhan perniagaan kami. Pembinaan platform pembiayaan antarabangsa ini merupakan satu langkah strategik yang sejajar dengan strategi syarikat global lain,” tambahnya.

    CATL kini disenaraikan di Bursa Saham Shenzhen, dan rancangan penyenaraian kedua di Hong Kong diumumkan dalam pemfailan bursa bulan lalu.

    Menurut laporan Bloomberg News minggu ini, Bank of America, JPMorgan Chase, China International Capital Corporation dan CSC Financial Corporation dijangka menjadi pengatur utama bagi urus niaga itu.

    Bank-bank lain juga dijangka akan dimasukkan untuk penyenaraian yang berkemungkinan berlaku seawal separuh pertama tahun ini, yang mungkin mengumpul sekurang-kurangnya AS$5 bilion, menurut laporan Bloomberg.

    Diasaskan pada 2011 di bandar pantai Ningde, China, CATL telah berkembang menjadi pengeluar bateri EV terbesar dunia dan membekalkan bateri kepada jenama automotif terkemuka termasuk Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen, Toyota, Honda dan Hyundai. – AFP

    Seorang pelawat melihat pek bateri Shenxing Plus untuk kenderaan EV di ruang pameran ibu pejabat CATL di Ningde, wilayah Fujian, tenggara China pada 15 November 2024. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda