HONG KONG, 12 MEI – Firma gergasi bateri EV China, CATL menyasarkan untuk mengumpul AS$4 bilion menerusi penyenaraian di Hong Kong yang dijadualkan pada 20 Mei, menurut satu kenyataan yang difailkan kepada bursa kelmarin, menjadikannya tawaran awam (IPO) terbesar yang dijangka di bandar itu setakat tahun ini.
Sebagai peneraju global dalam sektor itu, CATL menghasilkan lebih satu pertiga daripada semua bateri kenderaan elektrik (EV) yang dijual di seluruh dunia, bekerjasama dengan jenama utama termasuk Tesla, Mercedes-Benz, BMW dan Volkswagen.
Syarikat itu telah pun disenaraikan di Shenzhen dan rancangan untuk penyenaraian sekunder di Hong Kong diumumkan dalam satu pemfailan pada Disember lepas kepada bursa saham.
Menurut prospektus yang difailkan kelmarin, CATL akan menawarkan kira-kira 117.9 juta unit saham pada harga maksimum HK$263 sesaham (AS$33.80), dengan jumlah hasil dijangka mencecah HK$31.01 bilion.
Penyenaraian itu dijadualkan berlangsung pada 20 Mei.
Pelabur utama, termasuk Sinopec dan Kuwait Investment Authority bersetuju untuk membeli saham bernilai HK$2.62 bilion, menurut prospektus berkenaan.
Ditubuhkan pada tahun 2011 di bandar Ningde, China Timur, Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL) dijangka mencatat kejayaan awal hasil pertumbuhan pesat pasaran domestik.
Namun, pasaran EV terbesar di dunia kini mula menunjukkan tanda-tanda kemerosotan dalam jualan di tengah-tengah kelembapan penggunaan secara umum.
Trend tersebut telah mencetuskan perang harga yang sengit dalam sektor EV China, memberikan tekanan besar ke atas firma-firma kecil untuk kekal berdaya saing dan bertahan dari segi kewangan. – AFP
