Pelakon, Catriona Ross yang kini semakin menyerlah dengan siri komedi menerusi karakter Kak Kek memaklumkan bakal menyambut 1 Syawal di negara kelahiran bapa tercinta, di Edinburgh, Scotland.
Mengakui tidak sabar bertemu bapa dan saudara-mara di sana, Catriona akan terbang ke negara itu pada tiga hari sebelum raya.
“Insya-Allah pada tahun ini saya akan bawa suami dan anak-anak ke Scotland untuk meraikan Aidilfitri bersama bapa dan keluarga di sana selama dua minggu.
“Persiapan raya kami siapkan lebih awal agar tidak kelam kabut nanti. Saya sediakan lima pasang baju raya kerana mahu tunjukkan kemeriahan raya di sana nanti.
“Paling penting merakamkan momen istimewa dengan keluarga di sana dengan mengenakan baju raya kita,” katanya yang akan turut menyediakan juadah raya tradisi.
Tambah Catriona lagi, keputusan untuk beraya jauh di benua Eropah itu dibuat kerana mahu bersama-sama keluarga sebelah bapanya yang lama tidak dikunjungi.
“Kalau ada yang mempersoalkan kenapa saya memilih raya di sana, sedangkan mereka yang berada di perantauan teruja nak balik raya di tanah air, jawapannya adalah kerana bapa saya.
“Sejak ibu meninggal pada tahun 2013, bapa kembali ke Scotland. Jadi saya teringin untuk raikan Aidilfitri tahun ini bersama bapa dan keluarga di sana,” katanya. – Agensi
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/04/P19-2a-Catriona-Ross_1504202.jpg)