Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Catriona Ross seronok jayakan watak ibu

    JIKA pelakon seusianya menolak watak ibu, Catriona Ross, 37, pula tidak kisah ditawarkan watak wanita lebih berusia dalam bidang lakonan.

    Bagi Catriona, watak ibu turut memainkan peranan penting untuk menghidupkan jalan cerita sesebuah naskhah itu.

    “Watak ibu sangat penting dalam sebuah keluarga dan boleh melembutkan hati serta memberi inspirasi kepada penonton.

    “Setiap kali menerima skrip, saya cuma bimbang jika tidak dapat menampilkan watak itu dengan menarik dan berkesan kepada penonton,” katanya.

    Oleh itu, kata Catriona, dia sangat terharu apabila watak Mama Ijah lakonannya dalam drama bersiri 15 episod, Dekatkan Jarak Kita terbitan JS Pictures Sdn Bhd turut memberi kesan kepada penonton.

    Catriona Ross turut membintangi drama Jangan Padam Rindu dan Dia Pengantinku.

    Malah, drama yang diterajui Ayda Jebat dan Syafik Kyle itu mencecah rating sembilan juta penonton sejak bersiaran di Slot Samarinda TV3, baru-baru ini.

    “Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana watak Mama Ijah turut meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

    “Saya juga bangga apabila peminat tidak kira tua atau muda turut memanggil saya dengan nama watak itu apabila bertemu di pusat beli-belah,” katanya.

    Ditanya kekuatan drama itu, kata Catriona, ia membabitkan watak dan jalan ceritanya.

    “Cerita ini memaparkan krisis kekeluargaan yang memang berlaku dalam masyarakat hari ini.

    “Apa yang mencabar, watak Mama Ijah adalah wanita yang lembut dan penyayang tetapi ada masanya sangat tegas dengan pendiriannya,” katanya.

    Mengenai gandingan dengan pelakon baru pula, kata Catriona, dia tidak ada masalah bekerjasama dengan mereka.

    “Pelakon lama dan baru perlu berganding untuk merealisasikan sesebuah naskhah itu. Apa yang penting, pelakon baru perlu ada disiplin dan kesungguhan dalam lakonan.

    “Biarlah, mereka dikenali kerana bakat dan bukan disebabkan terpalit kontroversi,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, kata Catriona, dia juga bakal terbabit dengan dua projek drama baru pada tahun ini.

    Antaranya drama 26 episod terbitan Suhan Movies berjudul Jangan Padam Rindu bergandingan dengan Keith Foo, Emma Maembong dan Arash Mohamad.

    Menyusul selepas itu, dia akan berlakon dalam drama bersiri Dia Pengantinku bergandingan bersama Mawar Rashid dan Saharul Ridzwan. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda