SHANGHAI, 26 DIS – Dunia catur China gempar berhubung khabar angin mengenai skandal penipuan dan tingkah laku buruk yang menyaksikan juara catur negara itu dilucutkan gelarannya kelmarin.
Xiangqi, atau catur China, sangat popular sejak ratusan tahun lalu di seluruh Asia. Yan Chenglong yang berusia 48 tahun, berjaya menewaskan berpuluh-puluh orang pesaing minggu lalu untuk memenangi gelaran ‘raja xiangqi’ pada kejohanan kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Xiangqi China (CXA).
Tetapi kegembiraannya tidak bertahan lama, di mana CXA kelmarin telah mengumumkan gelaran Yan akan dilucutkan dan hadiah wang juga akan dirampas selepas ditangkap kerana ‘mengganggu ketenteraman awam’ dan mempamerkan ‘perwatakan yang sangat buruk.’
Persatuan itu juga terpaksa menjawab khabar angin yang tersebar dalam talian mengatakan Yan telah menipu semasa pertandingan dengan menggunakan teknologi canggih untuk membantunya menerima isyarat. – AFP


