LOS ANGELES, 21 NOV – Ty Jerome menjaringkan 29 mata ketika Cleveland Cavaliers bangkit daripada kekalahan pertama mereka musim ini dengan menewaskan New Orleans Pelicans 128-100 kelmarin.
Cavaliers menyaksikan rentetan 15 perlawanan tanpa kalah mereka ditamatkan secara mengejut oleh Boston Celtics pada Selasa tetapi mendominasi New Orleans dengan kemenangan mudah dari awal hingga akhir di hadapan penyokong mereka.
Cavaliers sentiasa mengawal permai-nan menentang pasukan Pelicans yang menghadapi kesukaran setelah mencatatkan kekalahan kesembilan dalam 10 perlawanan.
Selepas mendahului 69-55 pada separuh masa, Cavaliers terus mengasak pada suku ketiga, mengatasi New Orleans 36-18 untuk melebarkan kelebihan 32 mata menjelang suku terakhir sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan.
Cavaliers mengalami kesukaran untuk menjaringkan dari jarak tiga mata semasa kekalahan mereka di Piala NBA kepada Boston baru-baru ini, tetapi menikmati kejayaan yang lebih besar dari jarak tiga mata menentang New Orleans.
Jerome menjaringkan tujuh daripada 12 percubaan dari jarak tiga mata, termasuk enam daripadanya dalam satu persembahan luar biasa pada suku kedua yang menyaksikannya mengumpul 20 mata.
Georges Niang juga mempamerkan aksi cemerlang, menjaringkan enam jaringan tiga mata untuk menghabiskan perlawanan dengan 20 mata.
Kemenangan itu menyaksikan Cavaliers meningkatkan rekod mereka kepada 16-1 di puncak Eeastern Conference. Pelicans jatuh kepada 4-12 dan kekal satu kedudukan dari bawah dalam Western Conference.
Jurulatih Cavaliers, Kenny Atkinson memberikan penghormatan kepada prestasi luar biasa Jerome pada suku kedua yang membuatkan penonton di gelanggang teruja.
“Ia hebat. Momen seperti itu tidak selalu berlaku dalam NBA,” kata Atkinson. “Ia seperti prestasi seorang bintang, sejujurnya, yang sangat jarang berlaku.” – AFP