Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Dalam menggabungkan teknologi terkini ke dalam produk perawatan kulit dan kecantikan yang menepati setiap jenis kulit, WonderLab telah melancarkan tiga jenama terkenal Korea iaitu Haruharu, Well Nature dan WonderDewi.
Majlis pelancaran ketiga-tiga jenama berkenaan telah diselajurkan dengan perasmian cawangan pertama WonderLab di Kompleks Pusat Membeli-Belah Aman Hills, kelmarin.
Perasmiannya telah disempurnakan oleh Pengarah WonderLab, Wong Yong Ling; Ketua Pengurus, Sheryl Tong; Pengarah Urusan, Wong Hui Ting serta dua orang pengarah, Kim Leong Wong dan Wong Kim Guan.
Pada majlis itu, ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mengetahui dan melihat lebih dekat lagi produk baharu diperkenalkan di pasaran Brunei.
Menurut kenyataan yang diberikan, WonderLab menggabungkan minimalisme dengan gaya hidup sihat dengan produk daripada bahan semula jadi. Dengan menggunakan teknologi paling inovatif, produk-produk berkenaan diuji dan dirumuskan dengan kepakaran dalaman WonderLab.
Pada bulan ini, WonderLab dijangka akan membuka dua lagi cawangan di The Mall dan Times Square.