Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Mesyuarat Pegawai Kanan Asia telah mengambil maklum keputusan Persidangan Pemimpin Belia Rantau Asia Komanwel mengenai penubuhan Perikatan Belia Asia Komanwel (CAYA).
Penubuhan berkenaan bertujuan untuk memperkasa belia di rantau ini dan menyediakan platform untuk pemimpin belia di rantau Asia untuk menjalin rangkaian, membincangkan isu pembangunan belia, bekerjasama dan mengemukakan cadangan untuk pertimbangan di Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).
Persidangan Pemimpin Belia dan Mesyuarat Pegawai Kanan Rantau Asia Komanwel telah diadakan pada 22 hingga 25 April lalu di Kuala Lumpur, Malaysia dan dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Kebeliaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Zakaria bin Haji Serudin bersama-sama pegawai kanan Komanwel dan perwakilan lain yang bertanggungjawab dalam pembangunan belia.
Sidang Kemuncak itu merupakan inisiatif Sekretariat Komanwel, British Council, dan Commonwealth Youth Council.
Mesyuarat Pegawai Kanan Asia Komanwel telah dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha, Perdana Menteri Program Belia, Pejabat Perdana Menteri, Kerajaan Pakistan, Dr Muhammad Ali Malik.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, objektif mesyuarat adalah untuk membincangkan perkembangan dan pencapaian kemajuan di rantau Asia mengenai Kenyataan Bersama bagi Mesyuarat Menteri-Menteri Belia Komanwel (CYMM) ke-10, Deklarasi Marlborough House dan memberi peluang kepada pegawai-pegawai kanan untuk melibatkan diri dengan pemimpin belia dan mengambil maklum mengenai penubuhan Platform Belia Rantau Asia yang telah dipersetujui oleh menteri-menteri belia semasa Mesyuarat CYMM pada September 2023.
Semasa mesyuarat tersebut, pegawai-pegawai kanan mengambil maklum kenyataan pengerusi dan mengesahkan komitmen kolektif untuk menegakkan objektif yang digariskan dalam Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Belia Komanwel dan Deklarasi Marlborough House.
Mesyuarat juga bersetuju dengan keutamaan untuk memajukan lagi pembangunan belia di rantau ini melalui penyelarasan dan pelaksanaan di peringkat kebangsaan serta pengetahuan dan pertukaran rakyat-ke-rakyat dan kerjasama dalam kalangan negara anggota Komanwel.
Hadir mengiringi Haji Zakaria ialah Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Dayang Zainab binti Haji Morshidi, pegawai KKBS dan tiga orang perwakilan belia negara dan seorang ketua belia dari Majlis Belia Brunei.


