Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi tahun 2025, The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), melalui program Caring Cup, pagi tadi mengadakan majlis penyerahan cek sumbangan berjumlah $9,000 kepada tiga buah organisasi kebajikan iaitu Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan SMARTER Brunei di CBTL, Pusat Membeli-belah OneCity, Salambigar.
Setiap organisasi menerima sumbangan cek sebanyak $3,000 dan hadir bagi menerima sumbangan cek berkenaan ialah Pengarah Persatuan KACA Brunei, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Othman; Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin; dan Presiden SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.
Hadir selaku tetamu kehormat merangkap Naib Pengerusi CBTL bagi menyaksikan penyerahan sumbangan cek berkenaan ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Mun’im.
Hadir bagi menyampaikan sumbangan cek berkenaan kepada rakan Caring Cup ialah Ketua Pegawai Operasi CBTL, Muhammad Billy Lim Abdul Aziz.
Majlis yang diadakan menandakan penutupan inisiatif Caring Cup semasa bulan Ramadan dan Hari Raya oleh CBTL, sebagai tanda keprihatinan yang berterusan kepada masyarakat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus Besar CBTL, Art Terrado dan seterusnya ucapan daripada tetamu kehormat.
Majlis tersebut bukan sahaja sebagai tanda sokongan, tetapi juga sebagai refleksi komitmen CBTL yang berterusan dalam bekerjasama dengan rakan Caring Cup dan usaha kebajikan mereka.
YAM Pengiran Anak Abdul Mun’im dalam ucapannya percaya bahawa peranan CBTL bukan sekadar sebagai perniagaan makanan dan minuman. Misi CBTL adalah untuk berhubung dengan masyarakat, untuk mengambil berat dan menyumbang dengan cara yang bermakna. Melalui program Caring Cup, CBTL komited untuk memberi impak yang berkekalan dan membantu memperbaiki kehidupan.
Inisiatif Program Amal Global Caring Cup telah diwujudkan sejak tahun 2005 dengan objektif untuk memenuhi keperluan komuniti tempatan seperti menyumbang kepada organisasi kebajikan serta melabur dalam pelbagai program amal dan pendidikan. Caring Cup mencerminkan komitmen jenama ini dalam membawa perubahan positif kepada kehidupan masyarakat.