Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    CBTL buka cawangan ke-19 di Kiulap

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) melakar satu mercu tanda penting dalam sejarahnya di Negara Brunei Darussalam apabila membuka cawangan ke-19 di Kiulap, hari ini.

    Pembukaan rasmi cawangan berkenaan yang terletak di kawasan terbuka Bangunan Setia Kenangan itu disempurnakan oleh Naib Pengerusi CBTL, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Abdul Mun’im bin Pengiran Anak Haji Tahiruddin.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Selamat dan diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh YAM Pengiran Anak Abdul Mun’im yang menyatakan bahawa CBTL Brunei Darussalam telah beroperasi selama 23 tahun sejak 2001 dan merupakan pemegang francais antarabangsa pertama bagi CBTL di Asia Tenggara.

    Yang Amat Mulia menyatakan penghargaan kepada semua kakitangan CBTL Brunei Darussalam atas usaha keras mereka dan mengumumkan bahawa 90 peratus daripada kakitangannya merupakan warga tempatan.

    Mereka berharap dapat berkembang lagi dan menyumbang kepada pasaran kerja tempatan serta terus berkhidmat kepada komuniti dengan menyajikan hidangan kopi dan teh yang berkualiti tinggi.

    YAM Pengiran Anak Abdul Mun’im menyampaikan sumbangan kepada wakil Pusat Ehsan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Cawangan ke-19 CBTL yang terletak di Kiulap. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Di samping itu, Yang Amat Mulia juga menyatakan penghargaan kepada pelanggan atas sokongan dan kepercayaan mereka yang membolehkan mereka untuk terus berkembang serta maju.

    Majlis diteruskan dengan perasmian cawangan Kiulap oleh YAM Pengiran Anak Abdul Mun’im dengan pemotongan reben.

    Sementara itu, Pengurus Besar CBTL, Art Terrado dalam kata alu-aluannya mengetengahkan peranan jenama dan The Caring Cup kepada pemedulian masyarakat dengan penyampaian sumbangan derma kepada badan-badan kebajikan.

    Majlis turut menyaksikan YAM Pengiran Abdul Mun’im menyempurnakan penyampaian cek berjumlah keseluruhan $9,000 kepada Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA), SMARTER Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan).

    Mewakili Pusat Ehsan ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Pengiran Sarimah binti Pengiran Haji Abdul Latiff, mewakili SMARTER Brunei ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Dayang Sharifah Adila Surya binti Malai Haji Abdullah dan Persatuan KACA diwakili oleh Bendahari, Haji Roslan bin Haji Mohd Hassan.

    Di samping itu, CBTL juga membuat sumbangan berjumlah $3,000 kepada Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di GAZA 2023.

    Cawangan ke-19 CBTL itu direka dengan konsep Zen di mana ia menyediakan ruang yang mempunyai atmosfera ketenangan dan ketenteraman serta menyediakan suasana unik untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pengunjung.

    Ia juga menawarkan menu yang berlainan daripada cawangan-cawangan yang lain dengan masakan barat inspirasi Jepun seperti Dancing Bonito Pizza dan Carbonara Udon.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda