Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    CBTL sumbang 900 pek makanan, minuman

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL) turut tidak ketinggalan dalam mengadakan satu lagi inisiatif amal di bawah program Caring Cup mereka, di mana mereka menyumbangkan 900 pek makanan dan minuman yang dibungkus kepada jemaah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Sebanyak 450 pek makanan dan minuman yang dibungkus telah diagihkan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah di Kampung Kiarong kelmarin; manakala 450 pek lagi diberikan kepada jemaah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang dijalankan hari ini.

    Sumbangan itu telah diagihkan mulai jam 6 petang dan seterusnya untuk menyantuni ahli komuniti yang mengambil bahagian dalam majlis berbuka puasa di masjid-masjid.

    Sebelum menuju ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah kelmarin, ahli Brew Crew dengan sukarela menawarkan diri untuk membungkus sumbangan makanan, termasuk 150 macaroni pasta salads, 150 kek mini dalam tin dari tiga perisa berbeza dan 150 tin lemongrass mint tea, iced americano, southern blend tea dan swedish berries tea.

    Sementara hari ini, ahli Brew Crew meneruskan lagi misi amal mereka dengan menyediakan hidangan pembungkusan yang sama sebelum diagih-agihkan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen CBTL untuk memberi kembali kepada masyarakat dan menyokong tradisi tempatan semasa bulan suci Ramadan melalui program Caring Cup.

    CBTL berhasrat untuk terus me-ningkatkan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan menyakininya sebagai tujuan penting.

    Dalam pada itu, Eksekutif Pemasaran Kanan di CBTL, Shariyza Shaminan, antaranya menyatakan mereka amat berbesar hati untuk mengembangkan sumbangan syarikat kepada masyarakat dan ini adalah tahun kedua syarikat tersebut dalam menyumbang kepada inisiatif sedemikian, serta berharap untuk melakukan lebih banyak lagi pada masa hadapan.

    CBTL juga berharap dapat meneruskan sokongannya kepada komuniti tempatan melalui pelbagai inisiatif dan perkongsian.

    CBTL telah menyumbangkan 900 pek makanan dan minuman yang dibungkus kepada jemaah Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dan Masjid Omar ‘Ali Saifuddien. – GAMBAR SERAHAN CBTL
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda