Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    CCBD anjur sesi advokasi cegah penipuan bidaan

    Oleh Sim Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Sept – Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) melalui Sekretariat Eksekutif CCBD telah mengadakan satu sesi advokasi bertajuk, ‘Competition Act: Deterring Bid-Rigging in Public Procurement’, bagi pegawai-pegawai di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh CCBD, hari ini, menyatakan sesi berkenaan telah dihadiri oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional), Dr Hajah Rafidah binti Gharif, selaku Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan berserta pegawai-pegawai daripada Kementerian berkenaan.

    Semasa sesi berkenaan, pegawai-pegawai daripada Sekretariat Eksekutif CCBD telah menjelaskan larangan berhubung penipuan bidaan di bawah Bab 11, Akta Persaingan, yang mula berkuat kuasa sejak Januari 2020.

    Penipuan bidaan atau ‘bid-rigging’, yang merupakan salah satu bentuk kelakuan kartel, akan menjejaskan persaingan sihat dalam proses perolehan dengan memesongkan keputusan dan menaikkan kos, seterusnya menjejaskan keupayaan Kerajaan untuk mencapai nilai terbaik bagi perbelanjaan awam.

    Para peserta turut diberi pendedahan mengenai ciri-ciri utama amalan penipuan bidaan, termasuk cover bidding, bid suppression, bid rotation dan penggunaan subkontrak atau ‘subcontracting’.

    Pegawai-pegawai daripada Sekretariat Eksekutif CCBD yang mengadakan sesi advokasi bertajuk, Competition Act: Deterring Bid-Rigging in Public Procurement, bagi pegawai-pegawai di Kementerian Kesihatan, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN CCBD

    Beberapa kajian kes dari rantau ini juga dikongsi bagi menunjukkan kesan serius daripada perbuatan tersebut serta kepentingan kewaspadaan dalam mengesan dan mencegah pakatan sulit dalam proses perolehan.

    Sekretariat Eksekutif CCBD menekankan peranan penting pegawai-pegawai Kerajaan, khususnya yang terlibat dalam perolehan, dalam melindungi proses daripada pakatan sulit.

    Dengan meningkatkan kesedaran mengenai Akta Persaingan, sesi itu bermatlamat untuk melengkapkan pegawai perolehan dengan pengetahuan bagi mengenal pasti risiko yang berpotensi dan menggalakkan amalan yang menyokong persaingan sihat, ketelusan serta akauntabiliti dalam perolehan awam.

    Orang ramai dan pihak perniagaan yang ingin untuk mendapatkan makluman lanjut mengenai Akta Persaingan, mereka boleh melayari laman sesawang CCBD, www.ccbd.gov.bn.

    CCBD juga boleh dihubungi melalui Sekretariat Eksekutif CCBD di talian +673-2383100 atau e-mel, exec.secretariat@ccbd.gov.bn untuk sebarang pertanyaan lanjut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda