Monday, November 11, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    CCBD, CCCS tingkat pemahaman Akta Persaingan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Bagi memperkukuhkan pemahaman dan penguatkuasaan undang-undang persaingan di negara ini, Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) telah menganjurkan satu sesi latihan komprehensif mengenai Akta Persaingan, baru-baru ini.

    Sesi latihan tersebut disampaikan oleh dua pegawai kanan dari Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS); Pengarah Kumpulan bagi Undang-undang dan Penguatkuasaan CCCS, Winnie Ching; dan Pengarah Penguatkuasaan CCCS, Serene Seet.

    Kedua-dua pegawai berkongsi kepakaran serta amalan terbaik dalam penguatkuasaan undang-undang persaingan berdasarkan pengalaman mereka di Singapura.

    Turut hadir ialah pengerusi dan ahli-ahli CCBD, ketua dan pegawai-pegawai dari sekretariat eksekutif, serta wakil-wakil dari Mahkamah Tinggi dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Pengerusi CCBD, Yang Arif Haji Abdullah Soefri bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, dalam ucapannya, menyampaikan penghargaan kepada CCCS atas kerjasama erat antara kedua-dua pihak dan menekankan pentingnya pembangunan kapasiti dan kerjasama dalam mempertingkat pelaksanaan Akta Persaingan di negara ini
    Latihan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan CCBD untuk membangunkan kapasiti penguat kuasa dan pihak berkepentingan, dengan matlamat memastikan undang-undang persaingan dilaksanakan secara efektif demi mempromosikan ketelusan, keadilan, dan kesejahteraan pengguna dalam ekonomi negara.

    Akta Persaingan Brunei Darussalam yang diperkenalkan pada 2015 bertujuan untuk mempromosikan persaingan yang adil serta mencegah amalan anti-persaingan di pasaran, bagi memastikan perniagaan beroperasi dalam persekitaran yang adil, menggalakkan inovasi, dan memberi manfaat kepada pengguna melalui harga yang kompetitif dan peningkatan kualiti barangan dan perkhidmatan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Akta Persaingan dan CCBD, orang ramai bolehlah mengunjungi laman sesawang di www.ccbd.gov.bn atau hubungi CCBD melalui e-mel exec.secretariat@ccbd.gov.bn atau telefon di talian 2383100.

    Antar yang hadir pada sesi latihan tersebut sempat bergambar ramai. – GAMBAR SERAHAN CCBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda