Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    CCC bakal anjur forum tangani cabaran PKS dalam ekonomi kecil

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Dewan Perniagaan Cina (CCC) Bandar Seri Begawan akan menganjurkan forum perniagaan awam buat julung kalinya dengan tajuk Succeeding in a Small Economy pada 28 Oktober bertempat di Hotel J, Kiulap.

    Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh CCC, forum perniagaan itu direka bentuk untuk menangani cabaran dan peluang unik yang dihadapi oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekonomi kecil ini.

    Tiga bidang yang akan difokuskan adalah bagaimana mencari peluang melalui kerjasama, teknologi digital dan perdagangan antarabangsa.

    Sepanjang forum itu nanti, ia akan menampilkan ucaptama daripada Pengerusi Forum Asia Inc, Dato Timothy Ong yang juga selaku tetamu kehormat.

    Beliau akan berkongsi tentang bagaimana perniagaan boleh berkembang maju dalam ekonomi kecil dengan memetik contoh kejayaan dari negara-negara kecil yang lain dan bidang praktikal yang boleh diberi tumpuan oleh PKS.

    Dalam pada itu, forum turut merangkumi dua sesi perbincangan panel yang berjudul Prospering together through Digital Technology, Collaboration and Foreign Trade dan Partnering Outside the Box: Championing Success across Trade Associations.

    Forum berkenaan turut diungkayahkan dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) sebagai rakan kongsi strategik; DST dan Bank Standard Chartered sebagai penaja emas; Bank Baiduri selaku penaja perak; dan Archipelago Group, Golden Corporation, Heidelberg Materials, Hua Ho Agricultural Farm dan Bank RHB sebagai penaja gangsa.

    Melalui program berkenaan, ia diharap akan dapat sama-sama meningkatkan perkongsian pengetahuan dan juga pertukaran pandangan yang mendalam bagi peserta bersama dalam anggaran 100 orang golongan pemilik dan eksekutif perniagaan terdiri daripada ahli-ahli CCC, persatuan perdagangan berbeza,eksekutif korporat dan juga penggubal dasar.

    Gambar ramai ahli CCC Bandar Seri Begawan bersama rakan kongsi strategik dan para penaja. – GAMBAR SERAHAN CCC

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda