Oleh Rozainah Abdul Rahim dan Jeiilnyly Masal
KUALA LUMPUR – Setiap hab pengangkutan awam di sekitar bandaraya ini sama ada stesen LRT, monorel dan bas diawasi kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi di setiap sudut bagi memastikan keselamatan penumpang dan operasi perkhidmatan pengangkutan itu.
Sekurang-kurangnya 20 unit CCTV diletakkan di setiap lokasi bagi memantau setiap pergerakan penumpang selain digunakan untuk memantau tahap kesesakan di stesen.
Ketua Keselamatan Rel Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), DSP (Polis Bantuan) Mohd Faizul Ramli berkata sebanyak 6,224 rakaman CCTV dipantau secara langsung menerusi 773 ‘monitor’ di Pusat Kawalan Keselamatan (SCC) dan Pusat Kawalan Operasi bagi setiap laluan tren sepanjang 24 jam.
“Kedua-dua SCC dan OCC ini terdapat di setiap bilik kawalan CCTV bagi perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya, Ampang, Monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) yang sentiasa dipantau tiga anggota polis bantuan.
“SCC memantau berkaitan hal keselamatan dan jenayah manakala OCC memantau hal operasi tren sahaja jika berhenti, rosak dan lain-lain,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama baru-baru ini.
TINDAKAN SEGERA
Menurut Mohd Faizul, anggota yang memantau dari bilik kawalan CCTV akan memaklumkan sebarang kejadian jenayah atau kejadian lain kepada anggota polis bantuan yang bertugas di stesen menggunakan walkie-talkie supaya tindakan segera dapat diambil.
“Anggota yang bertugas di SCC juga akan menghubungi pihak berkaitan seperti polis, bomba dan ambulans secara terus untuk makluman atau memohon bantuan selain menghubungi unit tindakan khas polis bantuan Prasarana untuk mengekori, intipan atau membuat tangkapan terhadap suspek,” katanya.
Tinjauan Bernama mendapati bilik kawalan SCC di Depoh LRT Lembah Subang mempunyai tujuh skrin kecil dan 16 set skrin besar dengan dikendalikan beberapa petugas.
Mohd Faizul berkata rakaman CCTV di sekitar kawasan perkhidmatan pengangkutan awam itu banyak membantu siasatan kes atau kejadian jenayah oleh pasukan keselamatan Prasarana dan pihak polis.
“CCTV ini juga digunakan bagi mendapatkan rakaman sebarang perlakuan jenayah yang berlaku di stesen seperti gambar suspek untuk membantu pihak berkuasa mengesan mereka dan sebagainya.
BENTUK JENAYAH
Beliau mendedahkan kejadian jenayah yang sering dilaporkan berlaku di kawasan hab pengangkutan awam ialah gangguan seksual dan seluk saku.
“Rakaman kejadian merupakan bahan bukti penting bagi membantu siasatan polis dan tidak boleh disebarkan,” katanya.
Menurut beliau, seramai 18 daripada 25 suspek yang melakukan gangguan seksual di sekitar stesen tren dan bas ditahan sejak Jan hingga Ogos lepas.
Pasukan Prasarana, katanya sedang memburu tujuh lagi individu yang dipercayai terbabit dalam beberapa jenayah seluk saku dan gangguan seksual di beberapa stesen tren dan bas sekitar ibu negara.
Mohd Faizul berkata berdasarkan tangkapan dibuat, kebanyakan kes itu dilakukan oleh warga asing yang membanjiri stesen tren dan bas.
LANGKAH BERJAGA-JAGA
Penjenayah dikenal pasti mensasarkan mangsa di dalam tren atau bas malah sekitar stesen ketika dipenuhi penumpang iaitu ketika semua penumpang sedang berhimpit-himpit dan pergerakan mereka terhad.
Mohd Faizul berkata seramai 956 anggota polis bantuan ditugaskan selama 24 jam bagi melakukan rondaan berjadual di dalam LRT dan bas seluruh ibu negara bagi memantau sebarang kegiatan jenayah. – Bernama