Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Cakera padat (CD) album lagu nasyid pertama di Negara Brunei Darussalam telah dilancarkan oleh Kumpulan Noor El-Darussalam pada majlis yang berlangsung di Dewan Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Lapangan Terbang Lama, hari ini.
Pelancarannya telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud malam tadi.
Dalam ucapannya sebelum pelancaran, Dato Seri Paduka Haji Abdul Mokti berkata, Kumpulan Nasyid Noor El-Darussalam telah berjaya menerbitkan sebuah album nasyid yang mengandungi 10 buah lagu sempena Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.
Katanya, usaha kumpulan itu patut menerima penghargaan bukan sahaja daripada peminat seni lagu dan suara tetapi umumnya Negara Brunei Darussalam, kerana julung-julung kalinya, kumpulan itu menampilkan penyanyi-penyanyi veteran, muda dan pendatang baru yang bergabung tenaga menghasilkan album.
Menurut beliau lagi, Islam suka kepada keindahan, asal ia tidak menyalahi akidah, justeru itu apa jua bentuk keindahan yang bertujuan berdakwah untuk menyebarkan ajaran suci Islam amat digalakkan.



“Manusia, umumnya suka akan keindahan suara dan alunan nada seperti kumandang azan dan ayat suci Al-Quran bukan saja didengar dengan khusyuk oleh umat Islam tetapi juga umat-umat lain,” tambahnya.
Pengerusi majlis, Haji Abdul Hakim bin Haji Mohd Yassin pula menjelaskan, tujuan utama menerbitkan album nasyid itu adalah sebagai tanda kasih sayang Kumpulan Noor El-Darussalam kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Cakera padat yang telah dicetak sebanyak 200 keping itu memuatkan 10 buah lagu, enam dicipta Datuk Ustaz Jalidar dari Sabah, Malaysia, dua dicipta oleh Haji Hashim dan dua lagi dicipta oleh Sosonjan Ayunkhan manakala itu, muziknya pula oleh Haji Syed Yunos bin Haji Syed Anayatullah.