CDC enggan lulus dos penggalak pekerja berisiko

WASHINGTON, 24 SEPT – Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) hari ini enggan meluluskan dos ‘penggalak’ vaksin Pfizer untuk golongan berdepan risiko tinggi dijangkiti COVID-19 akibat pekerjaan mereka.

Keputusan itu dibuat walaupun agensi lain telah memberikan kelulusan sebelumnya, sekali gus menambah kekeliruan berhubung kempen suntikan dos ‘penggalak’ di AS yang diumumkan Presiden Joe Biden pada pertengahan Ogos lalu.

Semalam, Jawatankuasa CDC mengundi untuk mengesyorkan pemberian dos ketiga vaksin Pfizer kepada individu berumur 65 tahun ke atas serta golongan mempunyai latar belakang penyakit yang berisiko mengalami jangkitan teruk COVID-19.

Pengarah CDC, Rochelle Walensky, masih belum menandatangani syor berkenaan tetapi dijangka memberikan ‘lampu hijau’.

Kelmarin, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) bagaimanapun meluluskan dos ketiga Pfizer untuk lebih ramai orang awam di AS.

Ia termasuk golongan berisiko tinggi yang terdedah kepada jangkitan COVID-19 akibat pekerjaan mereka ataupun suatu keadaan lain, seperti guru, pekerja kedai runcit, petugas penjagaan kesihatan dan banduan. Namun, hasil pengundian jawatankuasa CDC membawa kepada keputusan sembilan menolak untuk kategori itu dimasukkan, manakala enam lagi menyokong. Perdebatan selama berjam-jam itu meletakkan beberapa pakar dalam keadaan berbelah bahagi, tatkala komuniti saintifik masih gagal mencapai kesepakatan sama ada dos ‘penggalak’ vaksin COVID-19 perlu diberikan ketika ini. – AFP

CDC enggan meluluskan dos ‘penggalak’ Pfizer untuk golongan risiko tinggi dijangkiti COVID-19 akibat pekerjaan mereka. –AFP