Wednesday, July 16, 2025
32.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cebisan mayat, serpihan pesawat Sriwijaya Air ditemui

    JAKARTA, 10 JAN – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam operasi pencarian pesawat Sriwijaya Air yang terhempas di perairan Kepulauan Seribu, mula menemukan serpihan pesawat dan enjin, barangan penumpang serta cebisan-cebisan mayat.

    Pihak berkuasa bagaimanapun belum lagi memaklumkan punca pesawat tersebut menjunam kira-kira empat minit selepas ia meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada petang Sabtu.

    Operasi pencarian kini juga berfokus kepada mendapatkan kotak hitam pesawat, selepas koordinat pesawat yang terhempas di perairan itu telah dikenal pasti.

    Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto dalam siaran media yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan berkata pasukan SAR telah mengenal pasti kotak hitam itu di satu koordinat (tidak dinyatakan) yang berada pada kedalaman 23 meter di perairan berkenaan. Setakat pukul 4 petang, sebanyak lima bungkusan cebisan-cebisan mayat telah dihantar ke Rumah Sakit Polri (Polis Indonesia) di Kramat Jati.

    Ketua Rumah Sakit Polri Kramat Jati, Asep Hendradiana dipetik agensi berita Antara berkata, pihaknya juga sedang mengumpul asid deoksiribonukleik (DNA) anggota keluarga para penumpang pesawat itu.

    Petugas menyemburkan disenfaktan ke atas beg-beg mengandungi cebisan mayat-mayat mangsa pesawat 182 Sriwijaya Air yang terhempas ke dalam lautan di pesisir pulau Jawa, di pelabuhan Tanjong Priok, Jakarta, Indonesia, 10 Jan. Penyelamat Indonesia berjaya mengeluarkan cebisan mayat, pakaian dan pecahan pesawat serta beberapa bahagian dalaman pesawat dari lautan Jawa sehari selepas pesawat dengan 62 orang penumpang dan kru itu terhempas sejurus berlepas dari Jakarta. – AP

    Biro Komunikasi dan Informasi Publik, Kementerian Perhubungan dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan SAR setakat ini telah menjumpai beberapa bahagian pesawat seperti pecahan pesawat, jaket penyelamat, beberapa bahagian dalaman pesawat dan barangan penumpang seperti pakaian, beg dan kad identiti pengenalan penumpang.

    Pelbagai objek dan cebisan mayat itu ditemukan di perairan Kepulauan Seribu pada kedalaman 23 meter di dasar laut.

    Pesawat Boeing 737-500 Sriwijaya Air itu terputus hubungan selepas berlepas pada 2:36 petang waktu Indonesia barat dari Jakarta menuju Pontianak, sebelum terhempas di perairan Kepulauan Seribu, Jakarta semalam.

    Penerbangan Sriwijaya SJ-182 itu membawa 62 penumpang termasuk 12 anak kapal. Ahli keluarga dan sanak-saudara menunggu mengenai berita keluarga mereka dalam keadaan sedih di lapangan terbang Pontianak.

    “Saya mempunyai empat ahli keluarga menaiki penerbangan itu – isteri dan tiga anak,” kata Yaman Zai yang menangis teresak-esak. “Isteri saya menghantar gambar anak damit kami…bagaimana hati saya tidak hancur?”

    Data dari FlightRadar24 menunjukkan pesawat itu mencapai altitud hampir 11,000 kaki sebelum menjunam tiba-tiba ke altitud 250 kaki. Ia kemudian hilang daripada kawalan trafik udara.

    Menteri pengangkutan kelmarin mengatakan jet itu nampaknya melencong daripada laluannya sebelum hilang daripada radar. – Bernama/AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda