Friday, July 5, 2024
27.2 C
Brunei

    -

    Cebu Pacific akan beli 152 pesawat Airbus bernilai AS$24 bilion

    MANILA, 2 JULAI – Syarikat penerbangan Filipina, Cebu Pacific berkata hari ini ia akan membeli sehingga 152 pesawat Airbus bernilai AS$24 bilion dalam perjanjian yang disifatkannya sebagai ‘tempahan pesawat terbesar’ dalam sejarah penerbangan negara itu.

    “Tempahan itu dibuat untuk memberikan Cebu Pacific dengan fleksibiliti maksimum bagi menyesuaikan pertumbuhan armada pesawat dengan keadaan pasaran, serta keupayaan untuk beralih antara A321neo dan A320neo,” kata Ketua Eksekutif Cebu Pacific, Michael Szucs, dalam satu kenyataan.

    Syarikat itu berkata ia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan Airbus yang meliputi ‘tempahan muktamad’ sehingga 102 pesawat A321neo dan hak pembelian untuk 50 A320neo.

    Tempahan bernilai AS$24 bilion adalah berdasarkan senarai harga, tambahnya.

    Cebu Pacific berkata mereka akan menggunakan enjin Pratt & Whitney untuk pesawat tersebut walaupun sebelum ini melaporkan masalah dengan enjin firma itu yang telah memaksa syarikat penerbangan itu mengurangkan kira-kira 10 pesawat mereka.

    Sebuah pesawat penumpang Airbus A320 Cebu Pacific bersedia untuk mendarat di lapangan terbang Antarabangsa Ninoy Aquino pada 19 Ogos 2023. – AFP

    “Apabila dimuktamadkan, perjanjian itu akan menjadi peristiwa penting bagi industri penerbangan tempatan,” kata Szucs.

    Urus niaga itu akan dimuktamadkan pada suku ketiga tahun ini, menurut kenyataan itu.

    Syarikat penerbangan telah kembali beroperasi selepas pandemik COVID-19, dengan jumlah penumpang dan pendapatan dijangka mencecah paras tertinggi tahun ini, kata badan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) pada bulan Jun.

    IATA berkata hampir lima bilion penumpang dijangka terbang pada 2024 dan pendapatan diperoleh cecah hampir AS$1 trilion.

    Tetapi syarikat penerbangan juga menghadapi kenaikan mendadak dalam kos yang disebabkan kekurangan alat ganti, buruh dan cabaran yang berkaitan dengan perubahan iklim. Jumlah perbelanjaan mereka juga dijangka mencapai rekod tertinggi tahun ini, meningkat 9.4 peratus kepada AS$936 bilion, kata IATA. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Waktu sarapan McDonald’s Australia dipendekkan

    SYDNEY, 4 JULAI – Rangkaian makanan segera McDonald’s di Australia telah memendekkan waktu perkhidmatan sarapan akibat kekurangan bekalan telur berikutan wabak selesema burung yang...