LONDON, 3 Mei – Penjaga gol Arsenal, Petr Cech tidak menyembunyikan perasaan ‘marah dan kecewanya’ selepas kekalahan 2-0 kepada Tottenham Hotspur, yang memberikan tamparan hebat ke atas usaha Gunners melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
Gol-gol daripada Dele Alli dan Harry Kane telah menyaksikan Spurs, di tangga kedua Liga Perdana, bergerak 17 mata di depan Arsenal dan telah memastikan mereka mengakhiri musim ini di depan pesaing setempat mereka dalam liga buat pertama kali sejak 1995.
Arsenal, yang berada di tangga keenam dan enam mata terpisah daripada pasukan di tempat keempat Manchester City, slot terakhir bagi kelayakan Liga Juara-Juara, meskipun Gunners mempunyai kelebihan satu perlawanan di tangan.
Perlawanan Arsenal seterusnya adalah di gelanggang sendiri menentang Manchester United, yang berada di tangga kelima dan lima mata di depan pasukan Arsene Wenger, hujung minggu ini.
“Ia menyakitkan kerana ia adalah perlawanan besar bagi kedua-dua buah pasukan. Mereka memerlukan kemenangan untuk mengekalkan peluang menjuarai gelaran. Kami memerlukan kemenangan untuk mengekalkan harapan melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.
“Jelasnya kami kecewa kerana ia adalah derby London, ia sangat bermakna bagi para penyokong dan sangat bermakna kepada kelab, kepada kami. Kami memerlukan tiga mata dan akhirnya kosong,” kata Cech. – AFP