Cedera tidak gugat semangat Aaliyah

PUTRAJAYA, 12 OGOS – Kecederaan telinga tidak menghalang ratu luncur air Malaysia, Aaliyah Yoong Hanifah untuk memberi saingan sengit pada Kejohanan Ski Air Dunia 2019 Persekutuan Luncur Air & Wakeboard Antarabangsa (IWWF) di Pusat Sukan Air, Presint 6, di sini, esok.

Walaupun mengalami kecederaan ringan di telinga semasa latihan baru-baru ini, Aaliyah, 16, berkata beliau sangat teruja untuk membuat persembahan hebat di hadapan peminat tempatan pada kejohanan dwitahunan itu yang berlangsung sehingga 18 Ogos ini.

“Pakar perubatan menasihatkan saya supaya berehat sekurang-kurang dua minggu tetapi saya amat teruja untuk menyertai kejohanan dunia ini yang akan diadakan tempat saya meluncur sejak kecil lagi,” katanya pada sidang media prakejohanan, di sini hari ini.

Jurulatih kelahiran Perancis, Marian Malaquin, yang melatih skuad kebangsaan, menyatakan keyakinan bahawa anak buahnya itu akan memperagakan aksi yang cemerlang walaupun berdepan dengan cabaran daripada barisan peserta utama dunia. – Bernama