Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Mahkamah Majistret, semalam, menjatuhi hukuman denda $1,000 ke atas seorang suami yang mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada isterinya, pada 2012.
Majistret Kanan Azrimah binti Haji Abdul Rahman menjatuhkan denda itu terhadap Bahruddin bin Haji Bakir, 49, yang mengaku bersalah kerana menumbuk dada, menolak bahu sehingga mangsa jatuh dan menolak mukanya.
Kejadian didakwa berlaku di Perumahan Bomba Lamunin, Daerah Tutong pada 9 Oktober 2012.
Tertuduh dalam rayuannya memohon untuk dijatuhi hukuman ringan memandangkan dia masih menyara anak-anaknya dan tidak mempunyai niat untuk mencederakan isterinya pada masa itu. Jika gagal membayar denda, Bahruddin diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara selama sebulan.
Terdahulu, tertuduh didakwa oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hajah Rozaimah binti Haji Abdul Rahman mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Penggal 22 yang membawa penjara sehingga tiga tahun dan juga denda.