Thursday, November 28, 2024
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cef Kanada disiasat jual ‘kit bunuh diri’

    WELLINGTON, 31 OGOS – Pegawai New Zealand berkata hari ini mereka sedang menyiasat kematian yang kemungkinan dikaitkan dengan seorang cef Kanada dituduh menjual ‘kit bunuh diri’ ke 40 buah negara.

    Polis Kanada telah mendakwa cef hotel Kenneth Law, 57 tahun, kerana menjual bahan melalui internet untuk membantu orang bunuh diri. Britain juga sedang menyiasat kematian 88 individu yang membeli bahan tersebut dari laman web Kanada.

    Mahkamah Koroner New Zealand berkata ia telah ‘menerima laporan kematian yang disyaki berkaitan dengan aktiviti seorang lelaki Kanada, yang telah didakwa oleh polis Kanada’.

    Jurucakap mahkamah itu tidak akan menyatakan jumlah kematian yang sedang disiasat.

    “Memandangkan isu tersebut kini diletak di bawah budi bicara mahkamah, tiada maklumat lanjut yang boleh diberikan,” kata jurucakap itu.

    Gambar Freepik

    Pihak berkuasa di Kanada telah memfailkan 14 pertuduhan terhadap Law, termasuk 12 yang diumumkan pada Selasa, berhubung kes di wilayah Ontario.

    Polis Kanada berkata lebih daripada 1,200 bungkusan bahan yang biasanya digunakan sebagai bahan tambahan makanan mungkin telah dihantar ke lebih 40 negara.

    Selain kes-kes British yang diumumkan minggu lalu, siasatan yang sama juga sedang dijalankan di Amerika Syarikat, Itali dan Australia.

    Law, yang bekerja di sebuah hotel di Toronto, telah ditahan pada Mei dan peguamnya berkata dia berhasrat untuk mengaku tidak bersalah.

    “Kami berada di peringkat awal prosedur tetapi dia berhasrat untuk mempertahankan dirinya,” beritahu peguam Matthew Gourlay kepada AFP.

    Kehadiran Law seterusnya di mahkamah dijadualkan pada 27 September. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda