PARIS, 26 APRIL – Cef terkenal Perancis, Alain Ducasse me-negaskan adalah lebih selamat untuk makan di restoran daripada di rumah ketika pandemik koronavirus.
Dengan restoran ditutup akibat lockdown di seluruh dunia, Ducasse mendakwa adalah jauh lebih berisiko untuk membeli-belah dan memasak di rumah.
“Adalah lebih baik makan di restoran yang mengambil kira semua langkah pencegahan berbanding di rumah di mana anda perlu pergi ke pasar raya di mana orang bertemu di antara satu sama lain, menyentuh buah dan bukan semua orang memakai penutup mulut dan hidung,” beritahunya kepada AFP.
Ducasse, dengan restorannya mempunyai 17 bintang Michelin, paling banyak yang dimiliki oleh mana-mana cef di dunia, mendakwa adalah lebih masuk akal makan di luar dari segi kebersihan. Restoran ditutup berdasarkan nasihat saintifik untuk menghentikan penularan virus dan untuk menguatkuasa penjarakan sosial.
Ducasse mengeluarkan komen keselamatan tersebut selepas mengemukakan kes pembukaan semula restoran ‘secara beransur-ansur’ di Perancis kepada Presiden Emmanuel Macron pada Jumaat. Ducasse berkata Macron telah menimbang hujah beliau, menambah kafe dan restoran mungkin dibuka semula di antara 2 dan 20 Jun jika angka kematian akibat virus itu terus berkurangan.
Kerajaan Perancis berkata ia akan memutuskan bila kafe, restoran dan hotel akan dibuka pada akhir Mei nanti. – AFP