Wednesday, December 4, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cef rayu pencuri larikan 2,500 biji pai, sedekah kepada pusat komuniti

    LONDON, 3 DIS – Seorang cef bertaraf Michelin dari Britain merayu kepada pencuri yang melarikan vannya bersama 2,500 biji pai di dalamnya agar ‘melakukan perkara yang betul’ dengan meletakkannya di sebuah tempat supaya orang yang memerlukan boleh mendapatkannya.

    Tommy Banks, yang memiliki dua buah restoran dan sebuah kelab di North Yorkshire, memuat naik rayuan itu di Instagram kelmarin dengan memaklumkan bahawa kenderaannya yang membawa stok bernilai £25,000 (AS$31,622) telah dicuri, lapor PA Media/dpa.

    Banks dalam video itu berkata stok berkenaan adalah untuk York Christmas Market.

    “Saya tahu kamu seorang penjenayah, tetapi mungkin kali ini lakukanlah sesuatu yang baik kerana ini musim Hari Natal dan mungkin kita boleh memberi makan kepada ribuan orang dengan pai yang kamu curi ini. Tolong lakukan perkara yang betul,” katanya sambil mencadangkan pai itu diberikan kepada pusat komuniti.

    Banks juga meminta orang ramai yang ditawarkan pai daripada individu selain dirinya untuk melaporkannya kepada polis.

    Sementara itu, Polis North Yorkshire berkata pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan meminta sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil memberi keterangan, menurut laporan BBC. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda