Cef terkenal saji makanan hasil tanaman sendiri

ISTANBUL – Seorang cef terkenal, yang diberikan anugerah bintang Michelin, berasal dari Jerman, memasukkan bawang yang dipotong dadu ke dalam kuali yang berisi minyak zaitun, kemudian dia memasaknya di atas api yang perlahan seketika sehingga bawang tersebut mengeluarkan aroma yang enak di sebuah bengkel swasta di Istanbul.

“Memasak bawang tersebut dengan perlahan, akan mengurangkan rasa mentah bawang itu,” cef Michael Riemenschneider memberitahu seorang pelajar gastronomi dan mengajar mereka cara yang terbaik dan segala butiran terperinci bekerja sebagai tukang masak.

Sebelum pandemik COVID-19 berlaku pada bulan Mac di negara itu, cef itu telah membuat keputusan untuk membuka sebuah restoran terkemuka di salah sebuah zon pelancongan yang terkenal di tengah-tengah Istanbul berhampiran dengan zon pembinaan Galataport Istanbul yang baharu.

Terletak di bahagian yang sibuk di Istanbul, dipenuhi dengan bar, kelab malam dan restoran, pelabuhan itu dijangkakan akan menjadi tarikan pelancong yang menaiki kapal persiaran apabila mereka mendarat.

Walau bagaimanapun, sembilan hari selepas membuka restoran tersebut, Riemenschneider terpaksa menutupnya kerana perintah ‘duduk di rumah’ yang diarahkan oleh kerajaan Turki demi membendung penularan pandemik.

Chef Riemenschneider mengajar seorang pelajar gastronomi segala butiran terperinci bekerja sebagai tukang masak. – Xinhua

Bahan-bahan yang digunakan ditanam sendiri dan Chef Riemenschneider sayur-sayur dan buah-buahan yang ditanam sendiri mempunyai rasa yang lebih enak keran tidak mempunyai bahan kimia. – Xinhua

Selepas menghabiskan masa selama empat bulan berada di rumah semasa tempoh kuarantin, cef terfikir sesuatu di mana kebanyakan orang mula untuk membeli-belah di kedai-kedai tempatan, di kedai tukang daging tempatan dan makan produk petani tempatan.

“Saya tidak semestinya bercakap mengenai membeli barangan makan organik, yang mana harganya dua kali ganda, tetapi saya merujuk kepada produk-produk yang dihasilkan sendiri, yang mana lebih sihat dan lebih enak,” dia memberitahu Xinhua.

Menjejaki perkembangan baharu yang lebih memilih produk yang dihasilkan secara tempatan, Riemenschneider telah mengambil keputusan untuk mencari satu lokasi baharu untuk restorannya. Kali ini dia memilih di bahagian Asia bandar tersebut, yang terletak jauh dari kesibukan bandar. Tempat itu lebih dekat dengan kebun di rumahnya di mana Celine telah menanam buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Kami menyajikan hidangan pencuci mulut buah yang ditanam dari kebun kami,” katanya. “Jika saya membuat puri epal dari kebun kami, ia adalah sesuatu yang hebat. Epal tersebut mempunyai rasa yang berbeza daripada apa yang kita beli dari pasar raya. Saya tahu ia tidak menggunakan bahan kimia di dalamnya.”

Dia merasakan tabiat pembeli telah berubah hampir 30 tahun yang lalu disebabkan oleh pengeluaran secara besar-besaran bagi ‘hampir semua’ produk dan mereka tiba-tiba berhenti membeli dari pasaran tempatan.

Tidak kurang dari itu, penyetempatan secara menyeluruh akan menjadi sesuatu yang mencabar kerana pasaran besar juga ingin meneruskan kelangsungan, menurutnya.

“Anda akan masih membeli ayam dari pasar raya kerana ia lebih murah,” tambahnya. “Tambah lagi, kebanyakan ibu bapa sekarang mempunyai pekerjaan, dan mereka tidak hanya duduk di rumah mengasuh anak dan masak makanan untuk mereka dan anak-anak”.

Tetapi cef itu percaya bahawa sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam sendiri, adalah lebih enak berbanding yang ditanam dari rumah kaca, yang sering di jual di pasar raya.

Sementara itu, aroma bawang sudah bersedia dan Damla Ercan, seorang pelajar berusia 20 tahun kelihatan sangat berpuas hati dengan apa yang dia pelajari daripada cef.

“Bekerja dengannya adalah peluang yang hebat bagi saya,” Ercan memberitahu Xinhua semasa dia membersihkan pinggan.

“Sumbangannya sangat berharga bagi karier masa depan saya”.

Riemenschneider mempunyai beberapa buah rangkaian restoran di seluruh Eropah, dengan beberapa buah darinya telah dianugerahkan dengan satu dan dua bintang Michelin. – Xinhua