BERLIN – Terletak di kawasan yang tersorok di bekas tapak kios makanan segera di bandar Jerman, terdapat sebuah restoran baharu dimana pemiliknya berharap akan menyediakan cita rasa masakan di tempat sendiri bagi ribuan pendatang baharu yang telah melarikan diri daripada perang saudara kejam di Syria.
Selepas melarikan diri dari tanah airnya, Malakeh Jazmati membina kehidupan baharunya di Jordan sebagai cef TV dan menjadi terkenal sebagai ‘ratu masakan’ kepada rakan-rakan sepelarian warga Syria. Setelah berada di Berlin, dia memulakannya semula, membuka sebuah restoran yang diharapkannya sebagai ‘penawar mengatasi kerinduan kampung halaman’ bagi rakan-rakan Syrianya, serta sebagai memperkenalkan hidangan negaranya kepada yang lain.
Semasa tiga tahun di Berlin, dia sudah menghidangkan masakan bagi bintang-bintang filem semasa festival filem Berlinale dan bagi Canselor Angela Merkel pada majlis kerajaan, namun restoran itu adalah percubaannya untuk menimbulkan kenangan bagi Syria kepada beberapa pendatang baharu.
“Saya cuba untuk menjadikan restoran ini bukan hanya sebahagian dari Syria namun sebahagian dari kampung halaman saya,” katanya berdiri di bilik penyediaan restoran selepas syif panjang di dapur. Makanan membantu mereka untuk ingat ibu-ibu mereka dan meja makan di rumah mereka, gambar-gambar di dinding mengingatkan mereka kehidupan di negara sendiri.”
Bermula sebagai hos TV
Kisah kulinari Jazmati sangat dekat dengan jalinan perang di Syria dan orang ramai yang mencari perlindungan di Jerman pada 2015. Beliau yang berusia 31 tahun berasal dari Damsyik lari dari negaranya selepas perang meletus. Perhentian pertamanya adalah bandar Amman, Jordan, tempat dia mula menjadi hos TV bagi rancangan masakan Syria dalam Orient TV, sebuah penyiaran serantau berpangkalan di Dubai.


Namanya, Maliket al-Tabkh atau ‘Ratu Masakan’ adalah rancangan atas nama pertamanya Malakeh, bermaksud ratu. Dia tidak pernah bekerja sebagai cef sebelumnya, namun caranya mempersembahkan makanan dan bercakap bersama penyampai secara semula jadi itu telah menjadikan rancangan itu popular dalam kalangan pelarian Syria dan lainnya.
Semasa dia bekerja, suaminya membuat perjalanan ke Jerman menerusi Turki dan Greece dan dia dibenarkan untuk menyertainya pada 2015 menerusi skim penyatuan semula keluarga. Dia merupakan salah seorang daripada ratusan ribu warga Syria yang berhijrah ke Jerman tahun itu.
Makanan tradisional
Restoran kecilnya, yang pernah menempatkan kios kebab di daerah Schoeneberg Berlin, membuka pintunya pada 27 Oktober menghidangkan masakan tradisional Syria. Sudah pasti ada hummus, namun Jazmati mengatakan hummus dan falafel hanyalah sebahagian kecil daripada makanan Syria. Pada Jumaat lalu, Jazmati memasak bebola daging dalam sos taragon dan susu, dibubuhi daun-daun anggur dan kacang hijau serta bawang putih dan ketumbar dalam sos tomato. “Saya cuba untuk memasak hidangan sama seperti masakan ibu-ibu kami di Syria,” katanya tersenyum lebar.
Jazmati berharap restorannya akan menjadi tempat pilihan bagi warga Syria yang tiba, serta semua orang yang ingin mencuba hidangan tradisi Syria. Pada hujung minggu, para pemuzik Syria mengadakan konsert kecil di sudut restoran sambil para tetamu memesan hidangan yang berharga sekitar 12 euro (AS$14).
Dindingnya dipenuhi dengan gambar-gambar warga Syria yang popular seperti penyair Nizar Qabbani dan Moustapha Akkad, terkenal kerana menghasilkan filem-filem ngeri Halloween. Ahmad Mahayni, yang berhijrah ke Jerman dari Syria pada 2014, sudah menjadi pelanggan tetap bersama isteri dan anak mereka dan menggemari konsep tersebut.
“Ia juga serupa seperti orang Jerman. Apabila mereka berpindah ke negara lain seperti Hong Kong, contohnya, mereka pasti mengidam makanan di tempat asal,” katanya fasih bertutur Bahasa Jerman. – AP