Tuesday, February 11, 2025
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ceferin dilantik semula hingga 2027

    LISBON, 5 APRIL – Aleksander Ceferin dilantik semula tanpa bertanding untuk penggal ketiga selama empat tahun sebagai presiden UEFA pada mesyuarat badan induk bola sepak Eropah di Lisbon hari ini.

    Peguam Slovenia berusia 55 tahun itu, yang pertama kali dipilih pada 2016 berikutan kejatuhan warga Perancis, Michel Platini, kini akan kekal memegang jawatan itu sehingga 2027.

    “Terima kasih atas sokongan sebulat suara awda. Ia amat bermakna bagi saya,” kata Ceferin kepada perwakilan di Kongres UEFA di ibu negara Portugal itu.

    “Ia adalah satu penghormatan yang besar, namun ia adalah tanggungjawab yang besar, terhadap awda dan terhadap bola sepak.”

    Kongres UEFA diadakan hanya beberapa minggu selepas Gianni Infantino dipilih semula sebagai presiden badan induk dunia sukan FIFA, juga tanpa bertanding.

    Infantino (kiri) bersalaman dengan Ceferin ketika di Lisbon, kelmarin. – AP

    Ceferin baru-baru ini berjaya menentang cadangan Infantino untuk mengadakan Piala Dunia setiap dua tahun, dan pemilihan semulanya berlaku selepas dia juga menentang projek Liga Super Eropah semasa penggal keduanya.

    Dia kini akan menyelia pengenalan format baharu untuk Liga Juara-juara bermula tahun depan.

    Format baharu Liga Juara-juara akan diperkenalkan mulai musim 2024/25, dengan bilangan kelab yang terlibat dalam peringkat kumpulan meningkat daripada 32 kepada 36 pasukan kesemuanya bermain dalam satu kumpulan menggunakan apa yang dikenali sebagai sistem Switzerland.

    Format baharu itu akan menyaksikan semua peserta bermain lapan perlawanan menentang lapan lawan berbeza.

    Pada masa ini peringkat kumpulan dibahagikan kepada lapan bahagian daripada empat pasukan yang bermain di tempat sendiri dan di tempat lawan.

    Sementara dia berusaha untuk meredakan ketegangan dengan Infantino, yang turut berucap pada mesyuarat di Lisbon, Ceferin dapat memberi tumpuan untuk meneruskan pengenalan peraturan baharu, Financial Fair Play.

    Kelab akan dipaksa untuk mengehadkan perbelanjaan bagi gaji pemain dan kakitangan, perpindahan dan yuran ejen kepada 70 peratus daripada jumlah pendapatan menjelang 2025/26.

    Ceferin juga telah membangkitkan kemungkinan melonggarkan peraturan yang pada masa ini menghalang kelab dengan pemilik yang sama berhadapan antara satu sama lain dalam pertandingan Eropah. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda