BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) tidak ketinggalan memperingati Hari Kesihatan Mental Sedunia pada tahun ini dengan mengadakan forum bertajuk Return to Light: Empowering People Struggling with Mental Health.
Hadir selaku tetamu kehormat dalam forum yang berlangsung di Lecture Theatre 2, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah
Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD itu ialah Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik, Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.
Dianjurkan oleh Unit Kaunseling dan Pelbagai Keperluan Pembelajaran, Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Eksekutif Khidmat Masyarakat dan Eksekutif Kesejahteraan Mahasiswa dan Mahasiswi, Persatuan Mahasiswa dan Mahasiswi UBD 2018/2019, forum mengetengahkan tema Hari Kesihatan Mental Sedunia iaitu ‘Pencegahan Bunuh Diri’.
Ahli panel jemputan bagi membincangkan topik tersebut ialah Presiden Persatuan Kaunseling Brunei dan Pengasas EMPOWERIOR Kaunseling dan Konsultasi, Mejar (B) Rusli bin Bujang serta Psikologis Klinikal (Kesihatan Awam), Pusat Promosi Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan.

Forum dihadiri oleh kakitangan, mahasiswa dan mahasiswi UBD serta institusi pengajian tinggi yang dijemput.
Menurut kenyataan yang diberikan, forum bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai bahawa tindakan bunuh diri adalah masalah kesihatan awam yang boleh dicegah selain mengurangkan stigma terhadap penyakit-penyakit mental yang boleh menjurus kepada tindakan bunuh diri.
Ahli-ahli panel juga memfokuskan penerangan tentang cara-cara berkesan dalam pengurusan diri terutama bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental untuk keluar daripada kepompong kegelapan dan meningkatkan keyakinan diri dalam menjalani kehidupan seharian serta mendapatkan bantuan rawatan profesional di peringkat awal.
Di samping itu, program juga diisikan dengan bengkel-bengkel, terapi seni, penyampaian tesis, dan sesi perkongsian bersama rakan kaunseling.
Selain itu, terdapat pameran-pameran kesihatan mental yang disediakan oleh sukarelawan mahasiswa dan mahasiswi perubatan PAPRSB IHS, syarikat persendirian dan Eksekutif Keugamaan dan Kerohanian, UBD yang menerangkan lebih lanjut tentang jenis-jenis penyakit mental, sokongan efektif dan lain-lain.