Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Daerah Polis Brunei Muara telah meneruskan lagi aktiviti pengawasan kejiranan (PK) di awal tahun 2018 ini dengan rondaan pencegahan jenayah di Kampung Lupak Luas/Tarap Bau.
Rondaan yang bermula dari rumah Ketua Kampung Lupak Luas/Tarap Bau, Haji Suhaili bin Haji Moktar itu melibatkan tiga orang ahli Focal Point Pengawasan Kejiranan DHQ Brunei Muara dan lapan orang anggota Balai Polis Kampong Ayer dengan diketuai Pegawai Menguasa Balai Polis Kampong Ayer, Inspektor Hamdan bin Mantul bersama lima orang ahli PK Kampung Lupak Luas/Tarap Bau dengan diketuai oleh ketua kampung berserta enam orang ahli dari Bahagian Penguatkuasaan Agama dengan diketuai oleh Haji Samry bin Haji Mohd Yaakub.
Rondaan menggunakan kenderaan di kawasan kampung dan kawasan-kawasan di bawah jagaan Ketua Kampung Lupak Luas/Tarap Bau itu dijalankan bagi memastikan kawasan kampung dalam keadaan selamat daripada sebarang kegiatan jenayah.
Dengan adanya rondaan pencegahan jenayah bersama PK seumpama ini akan dapat meningkatkan lagi kewaspadaan masyarakat dalam sama-sama memastikan keselamatan kawasan di kampung mereka bebas jenayah.
Kesepaduan di antara ahli-ahli PK dengan anggota penguatkuasaan undang-undang akan meningkatkan lagi keharmonian bermasyarakat bagi sama-sama mendokong dan mencapai hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena menyambut tahun baru 2018.
Pasukan Polis Diraja Brunei juga mengambil kesempatan mengalu-alukan para belia dari pelbagai peringkat umur untuk menyertai PK di kampung masing-masing.