Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cegah penyakit denggi, tanggungjawab bersama

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    Di Negara Brunei Darussalam, Kementerian Kesihatan melaporkan peningkatan kes pada separuh pertama tahun ini berbanding tahun lalu, namun usaha pencegahan perlu dipertingkatkan menjelang musim hujan.

    Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar terus mengusahakan langkah kawalan vektor, termasuk pemeriksaan bagi kes-kes penyakit denggi, pendidikan kesihatan dan meningkatkan kesedaran pembersihan komuniti.

    Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Pegawai Perubatan, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Dr Mohammad Hussein berhubung Bahaya Denggi Masih Mengancam kepada Media Permata, baru-baru ini.

    Namun begitu, jelas beliau lagi, cuaca yang lebih panas dan kerap hujan telah mewujudkan persekitaran ideal bagi pembiakan nyamuk aedes.

    Ini menyebabkan peningkatan kluster kes denggi, khususnya di kawasan perumahan padat dan persekitaran berisiko.

    Gambar Freepik
    Nyamuk yang membiak dalam air bertakung dan persekitaran domestik, menjadikannya sukar dibendung seandainya masyarakat tidak menjalankan tanggungjawab bersama. – AFP
    Seorang pekerja kesihatan sedang menjalankan prosedur penyemburan nyah-denggi di Jakarta, Indonesia. – AFP

    Negara-negara jiran seperti Malaysia, Thailand dan Filipina juga mengalami wabak denggi berskala besar, menunjukkan bahawa masalah ini bersifat rentas sempadan dan memerlukan penyelarasan serantau yang lebih kuat.

    Oleh itu, bertepatan dengan Hari Denggi ASEAN yang disambut setiap tahun pada 15 Jun, ia bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran mengenai bahaya penyakit denggi, dan menyeru kepada tindakan kolektif di seluruh rantau ASEAN untuk mencegah penularan jangkitan bawaan nyamuk ini.

    Tema tahun ini ialah ASEAN United: Zero Dengue Death, a Future We Build Together menekankan kepentingan tindakan segera oleh komuniti, pihak berkuasa kesihatan dan individu dalam mengurangkan beban penyakit denggi yang semakin meningkat di rantau ini.

    MUSUH SENYAP: NYAMUK AEDES

    Menghuraikan mengenai denggi, Dr Mohammad Hussein berkata denggi adalah jangkitan virus yang disebarkan melalui gigitan nyamuk aedes aegypti dan aedes albopictus, yang aktif menggigit pada waktu pagi dan lewat petang. Nyamuk ini membiak dalam air bertakung dan persekitaran domestik, menjadikannya sukar dikawal jika masyarakat tidak memainkan peranan aktif.

    Kongsinya, di seluruh Asia Tenggara, kes denggi telah menunjukkan peningkatan mendadak sejak sedekad lalu, dipacu oleh perubahan iklim, pertumbuhan bandar yang pesat, kelemahan pengurusan persekitaran serta pergerakan populasi dan perdagangan yang tinggi.

    Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 390 juta jangkitan denggi berlaku setiap tahun, dengan sebahagian besarnya tertumpu di kawasan tropika seperti ASEAN.

    CIRI-CIRI PENYAKIT DENGGI DAN KESANNYA

    Sementara itu, Dr Mohammad Hussein turut menjelaskan jangkitan denggi boleh menyebabkan simptom seperti demam panas mengejut, sakit kepala dan sakit belakang mata, sakit sendi dan otot, ruam kulit dan pendarahan ringan seperti gusi berdarah dan lebam.

    Dalam kes yang teruk, tekan beliau, ia boleh berkembang menjadi demam denggi berdarah (DHF) atau Sindrom Kejutan Denggi (DSS) yang boleh membawa maut, khususnya kepada kanak-kanak dan warga emas. Lebih membimbangkan, seseorang boleh dijangkiti lebih daripada sekali dalam seumur hidup. Jangkitan semula meningkatkan risiko komplikasi yang serius.

    TANGGUNGJAWAB BERSAMA

    Oleh yang demikian, Dr Mohammad Hussein turut menekankan bahawa pencegahan denggi bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau pihak berkuasa tempatan akan tetapi ia merupakan tanggungjawab semua pihak.

    Jelasnya lanjut, penyakit denggi dapat dicegah dengan melakukan pemeriksaan harian terhadap kawasan rumah dan membuang bekas-bekas yang boleh menakung air dan juga dengan menutup bekas air sekali gus membersihkan longkang dan membuang sampah dengan betul.

    Selain itu, kita juga dikehendaki untuk membersihkan barang-barang lama yang boleh menakung air dan menjadi tempat nyamuk bertelur dan salah satu usaha lagi dengan memasang jaring nyamuk dan sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota yang terdedah kepada gigitan nyamuk. Begitu juga kita digalakkan untuk bergotong-royong dengan membersihkan alam sekitar setiap minggu.

    TEKNOLOGI DAN INOVASI BARU

    Dalam pada itu, Dr Mohammad Hussein turut menyatakan negara-negara ASEAN kini sedang meneroka pendekatan inovatif.

    Salah satunya dengan melakukan pelepasan nyamuk aedes jantan dengan bakteria wolbachia untuk mengurangkan pembiakan nyamuk berjangkit. Begitu juga menyediakan sistem pemantauan digital (GIS) untuk mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

    DENGGI BOLEH DITANGKIS

    Hari Denggi ASEAN bukan sekadar peringatan tahunan, tetapi peluang untuk menyemarakkan semangat kolektif dalam mencegah denggi.

    Denggi tidak mengenal sempadan negara. Ia juga tidak memilih mangsa, hanya dengan kesedaran dan tindakan pantas daripada semua pihak, melalui ‘pendekatan seluruh negara’, maka penyakit ini boleh dibendung.

    Kejayaan menghapuskan ancaman denggi memerlukan gabungan usaha dengan adanya komitmen kerajaan, tindakan komuniti dan kesedaran individu.

    Dengan semangat kerjasama ASEAN dan pendekatan One Health, kita mampu mengurangkan risiko penularan denggi secara mampan. Denggi berakhir dengan tindakan kita hari ini demi esok yang lebih sihat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda