Berkat semangat yang tinggi dalam meniti perjuangan hidup sehari-hari, seorang wanita ini berani bangkit untuk meneroka dunia keusahawanan yang pastinya memiliki persaingan yang begitu sengit dari semasa ke semasa.
Siapa sangka, hanya dengan keinginan hati yang tulus untuk mencuba resipi-resipi yang sedang ‘trending’ dari laman YouTube atau Internet sahaja suatu ketika dahulu telah menjadikannya kini sebagai usahawan pembuatan kek yang semakin dikenali dalam kalangan masyarakat di negara ini.
“Syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala di atas limpahan rezeki ini. Semuanya kerana minat yang mendalam dalam bidang pembuatan kuih-muih, itulah yang membawa saya hadir dalam menceburi dunia perniagaan sehingga kini yang sememangnya menyimpan kenangan yang begitu indah dan pengajaran dalam saya meniti liku-liku dunia keusahawanan sejak 9 tahun lalu,” itulah antara kata-kata yang disampaikan oleh salah seorang usahawan wanita tempatan dalam bidang pembuatan kuih-muih, Hajah Nurul Nadia Syazalina binti Haji Zainal @ Hajah Nadia binti Haji Zainal, semasa ditemui Media Permata di kediaman peribadi beliau di kawasan Kampung Katimahar, baru-baru ini.
10 pilihan aneka kuih mor
Selaku Pemilik dan Pengurus Syarikat Sotorindu Bakery, Hajah Nadia menjelaskan bahawa perniagaan beliau memfokuskan kepada pembuatan pelbagai kuih-muih tradisional dan moden dan sekali gus menyediakan perkhidmatan tempahan doorgift bagi acara-acara keramaian seperti majlis perkahwinan, sambutan hari jadi, doa selamat dan lain-lain.




Ujarnya lagi sambutan tempahan amat menggalakkan dari kalangan masyarakat di negara ini terutamanya apabila tibanya musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri yang mana salah satu produk yang menjadi sambutan para pelanggan adalah Kuih Mor pelbagai rasa yang terdiri dari 10 pilihan rasa iaitu klasik, durian, pandan, keladi, kacang tanah, oreo, butterscotch, choco chip, cornflakes dan velvet.
“Semua ahli keluarga; ibu bapa, adik-beradik dan saudara-mara terdekat, sahabat-handai serta para pelanggan, merekalah insan-insan yang menjadi pendorong utama atas pencapaian saya sehingga kini. Tanpa mereka semua, saya tidak akan mampu mendirikan syarikat ini sepenuhnya,” ucapnya dengan penuh ketulusan yang telah menubuhkan syarikat ini sejak tahun 2010.
Berkat Kegigihan Usaha
Beliau pada asalnya hanya bermodalkan hasil tabungan simpanan peribadi sebanyak $500 ketika memulakan perniagaan ini.
Namun berkat usaha yang gigih dengan semangat serta kecintaan yang mendalam dalam dunia pembuatan kuih-muih dan bidang perniagaan ini, Hajah Nadia pernah memperoleh sambutan rezeki tempahan di luar jangkaan beliau bermula dari hanya 300 tempahan setiap bulan dan kini telah mencecah 10,000 tempahan dalam tempoh bulanan.
“Namun apa yang pasti dalam meniti dunia perniagaan ini, saya juga sentiasa memantapkan kemahiran diri dalam menimba ilmu pengetahuan dengan menghadiri kelas-kelas masakan dalam dan luar negara. Apa yang saya harapkan ialah dengan adanya ilmu pengetahuan dan pelbagai teknik itu akan menambahkan lagi semangat juang saya dalam meningkatkan prestasi pembuatan kuih-muih daripada segi kualiti dan juga kuantiti dari semasa ke semasa,” tambahnya dengan senyuman manis.
Sentiasa Mengalir Dalam Jiwa
Semangat juang dan ketekunan, Hajah Nadia dalam meneruskan perniagaan ini yang sememangnya salah satu hasrat terbesar keluarga beliau sentiasa mengalir dalam jiwa dan pemikirannya dari semasa ke semasa.
Beliau yang menjalankan perniagaan sepenuh masa ini turut menyatakan bahawa bermula daripada pembuatan kuih-muih ini berseorangan, kini beliau bersyukur mempunyai tujuh orang pekerja tempatan yang terdiri dari anak muda.
“Kehadiran mereka amat saya hargai kerana apa yang saya inginkan ialah membantu mereka dalam mencari rezeki yang halal dan meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka dalam bidang pembuatan dan hidangan makanan dari masa ke semasa,” jelasnya dengan nada kegembiraan.
Yakin Rezeki Dari Allah S.W.T
Walaupun terlalu banyak persaingan dalam dunia perniagaan ini, namun usahawan wanita yang kini berusia 32 tahun ini yakin dan percaya rezeki itu datangnya dari Allah SWT selagi kita berusaha dengan penuh keikhlasan dan kerendahan hati, di samping menitik beratkan kualiti produk atau perkhidmatan dengan sebaik-baiknya.
“Apa pun perniagaan yang kita ceburi itu pasti akan membuahkan hasil pengorbanan daripada titik peluh selama ini. Oleh itu perlu diingat bahawa kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan kita perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna kita akan jatuh selamanya. Jadikan perkara ini sebagai pembakar semangat kita untuk bangkit dan terus bangkit.”
“Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata lain setiap usaha yang kita perlukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti.Berusaha dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkannya” nasihat beliau dengan penuh keyakinan kepada masyarakat di negara ini khususnya para usahawan tempatan semasa mengakhiri sesi temu bual bersama wartawan Media Permata, baru-baru ini.