Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cekal harungi cabaran demi vaksinasi penduduk pedalaman

    Oleh Arjasneh Ahmad

    KINABATANGAN – “Bukan tugas mudah tetapi perlu dilaksanakan bagi melindungi rakyat.” Begitulah kata-kata yang dikongsi setiap petugas yang terlibat dalam Program Outreach Pasukan Imunisasi Bergerak (MVT) di pedalaman Kinabatangan.

    Penulis yang berpeluang menyertai program itu mengakui memang sukar perjalanan untuk sampai ke Kampung Sri Ganda, sebuah perkampungan terpencil, terletak di tebing Sungai Kinabatangan, destinasi program MVT itu.

    Perjalanan ke kampung yang mempunyai sekitar 200 orang penduduk itu mengambil masa kira-kira dua jam. Bermula dari Sandakan, menaiki bot merentas Laut Sulu, sebelum menyusuri Sungai Kinabatangan.

    Ketibaan kami bersama Ketua Program Mobile Vaccination Team (MVT), Dr Maini Sabait yang juga Pegawai Perubatan dari Hospital Kinabatangan dialu-alukan penduduk kampung. Pasukan petugas kemudiannya memeriksa dewan terbuka yang dijadikan tempat suntikan vaksin COVID-19.

    Bawa vaksin dengan bot

    Program suntikan MVT tertangguh seketika apabila pasukan petugas Jabatan Kesihatan Daerah Kinabatangan lewat tiba di Kampung Sri Ganda, kelewatan yang tidak disengajakan. Mereka terpaksa menaiki bot jabatan berkenaan yang mempunyai kuasa enjin yang kecil, menyebabkan perjalanan memakan masa lebih tiga jam.

    Pegawai Farmasi Hospital Daerah Kinabatangan Thiam Kah Kit (tengah) bersama tong penyejuk yang mengandungi vaksin COVID-19 sambil diiringi dua anggota ESSCOM ketika menaiki bot pada Program Outreach Vaksin COVID-19 Pasukan Imunisasi Bergerak (MVT) di kawasan kampung sepanjang Sungai Kinabatangan baru-baru ini. – Bernama
    Seorang penduduk Tundun Bohangin menerima suntikan vaksin COVID-19. – Bernama
    Pegawai Kesihatan Hospital Daerah Kinabatangan Dr Maini Sabait (tengah) memujuk seorang penduduk supaya mendapatkan suntikan vaksin COVID-19. – Bernama
    Petugas kesihatan Hospital Daerah Kinabatangan membantu penduduk mengisi borang untuk mendaftar penerimaan vaksin pada Program Outreach Vaksin COVID-19 Pasukan Imunisasi Bergerak (MVT) di Kampung Sri Ganda. – Bernama

    Situasi itu agak merunsingkan Pegawai Farmasi Thiam Kah Kit yang turut berada dalam bot berkenaan, mengenai keselamatan vaksin yang diama-nahkan kepadanya. Pasukan petugas ini diringi oleh anggota Angkatan Pertahanan Awan dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dari Lahad Datu.

    Satu cabaran berat dipikul Kah Kit dalam memastikan vaksin yang mahal harganya dalam keadaan terbaik sebelum diberikan kepada penduduk ialah mengekalkan suhu antara 2 hingga 8 darjah Celsius sepanjang hari supaya vaksin tidak rosak.

    “Kena hati-hati juga sewaktu berjalan takut jambatan runtuh, vaksin dengan peti beku berat takut jambatan tak mampu tampung berat,” katanya menceritakan pengalamannya melalui jambatan kayu sambil membawa kotak vaksin.

    Selain jambatan reput yang terpaksa dilalui ketika memasuki kawasan kampung, cabaran membawa vaksin lebih getir apabila program suntikan dilakukan di kawasan ladang. Ini kerana hanya kenderaan pacuan empat roda boleh melalui jalan ladang yang teruk keadaannya, berlubang, berlumpur dan licin berair terutama ketika hujan.

    “Botol vaksin boleh pecah kalau tidak dijaga dengan betul. Kadang-kadang kena minta pemandu jalan perlahan,” katanya, yang akan diiringi oleh sekurang-kurangnya dua orang anggota polis sewaktu proses penghantaran vaksin.

    Bagi program suntikan vaksin yang lagi jauh dan terpaksa bermalam, Kah Kit akan meminta pihak ketua kampung menyediakan peti sejuk untuk membekukan ketulan ais serta membawa peti beku tambahan khas untuk ais. Menurut beliau, vaksin akan dihantar balik ke pejabat sekiranya kawasan kampung tidak mempunyai bekalan elektrik dan dibawa semula keesokan hari untuk meneruskan program suntikan.

    Tetap bersemangat

    “Sakit ke, jarum tu besar tak?” adalah soalan rutin yang perlu dijawab oleh Jururawat Pejabat Kesihatan Kawasan Kinabatangan Rohana Salim, setiap kali beliau berhadapan dengan penduduk yang akan menjalani vaksinasi. Beliau adalah jurusuntik vaksin dalam Program MVT ini.

    Difahamkan program MVT ini dimulakan pada pertengahan bulan Mei 2021 dan dijangka berterusan sehingga ke tahun 2022, bergantung seramai mana penduduk yang menerima suntikan vaksin.

    Jika penduduk takut dengan jarum suntikan, petugas juga tidak terkecuali, namun ketakutan dan kerisauan mereka bukanlah pada jarum atau reaksi penduduk sebaliknya kerisauan mereka adalah ketika melalui perjalanan yang adakalanya amat meletihkan.

    Namun, rata-rata petugas tetap bersedia serta bersemangat untuk memberikan perkhidmatan terbaik supaya liputan imunisasi vaksin COVID-19 dapat diperluaskan, meliputi semua penduduk di kawasan ladang dan perkampungan terpencil. Semangat memberikan perkhidmatan terbaik menghilangkan perasaan gemuruh dan takut sebaik menaiki bot merentasi laut dan menyelusuri sungai mahupun menaiki kenderaan pacuan empat roda menempuh jalan yang tidak sempurna.

    Bagi jururawat yang juga jurusuntik vaksin, Friscilla Duanik pula, cabaran sebenar bagi mereka bukan sahaja berhadapan dengan penduduk yang bermacam-macam ragam tetapi menaiki bot berpindah dari kampung ke kampung lain untuk memberikan suntikan vaksin adalah amat mencabar.

    Tidak berbaloi rasanya perjalanan berjam dan berhimpit enam orang dalam pacuan empat roda atau meredah ombak dengan bot kecil apabila tiba di lokasi disambut dingin penduduk. Namun persiapan dan tanggungjawab harus dilaksanakan, walaupun hanya seorang saja penduduk yang muncul, tugas memberi suntikan vaksin tetap dijalankan.

    Difahamkan, Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sudah memberikan penerangan mengenai kebaikan dan manfaat vaksin serta hebahan di kampung mereka. Namun masih ramai penduduk tidak faham dan terpengaruh dengan khabar angin serta berita palsu.

    Perlu pergi rumah ke rumah

    Berbeza dengan proses suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) yang sudah ada senarai nama penerima dan berdaftar dengan aplikasi MySejahtera, di pedalaman, penerima tiada dalam senarai dan berdaftar dengan MySejahtera, semua pendaftaran dilakukan secara manual.

    Petugas terpaksa menunggu penduduk datang ke tempat pemberian vaksin malah adakalanya peralatan yang sudah disimpan ke dalam bot untuk dibawa ke kampung lain terpaksa dibuka semula disebabkan ada penduduk yang berubah fikiran untuk menerima vaksin.

    “Kami terpaksa pergi dari rumah ke rumah penduduk, menerangkan tentang vaksin dan memujuk mereka supaya mengambil suntikan vaksin. Tidak mudah, tidak semua menerima pujukan kami, ” kata Jururawat Masyarakat Kanan, Lampai Idris. Walaupun langkah semakin longlai dan riak wajah sudah kepenatan namun semangat mereka tetap membara untuk terus memberikan penerangan dan memberikan suntikan vaksin COVID-19 kepada penduduk pedalaman sebagai langkah untuk memutuskan penularan jangkitan.

    Selain kekangan kenderaan, petugas program MVT juga terpaksa berhadapan masalah tempat penginapan terutama apabila terpaksa bermalam di kawasan pedalaman. Mereka terpaksa bergantung kepada pusat latihan ataupun penyelidikan jabatan kerajaan. Itu pun hanya mampu menampung jumlah tetamu yang terhad.

    Petugas berkongsi bilik beramai-ramai dan ada yang hanya tidur beralaskan lantai sementara pemandu bot dan anggota Angkatan Pertahanan Awan yang mengiringi pasukan petugas hanya tidur dalam buaian ‘hammock’ di kawasan terbuka, ditemani nyamuk dan agas.

    Hasil program MVT

    Program dua hari MVT dan Jabatan Kesihatan Kawasan Kinabatangan di Kampung Sri Ganda, Kampung Tundun Bohangin dan Kampung Abai berjaya memberikan 102 dos pertama suntikan vaksin jenis Sinovac. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,886 dos, melibatkan tujuh buah ladang dan tiga buah kampung yang dimulakan sejak dua minggu lalu.

    Setakat ini daerah Kina-batangan difahamkan mencatat peratus terendah penduduk yang divaksin bagi seluruh Sabah. Bagaimanapun, menurut Dr Maini, petugas Jabatan Kesihatan Kawasan Kinabatangan tidak akan berputus asa. Malah mereka akan terus cekal untuk meningkatkan promosi, penerangan serta kaunseling kepada penduduk kampung dan ladang terutama kepada mereka yang tidak mahu menerima vaksin.

    Bagi mereka, walaupun jumlah yang menerima tidak ramai namun sudah mencukupi sebagai pemangkin kepada penduduk lain yang bakal menerima vaksin pada masa akan datang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda