Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cekal usahakan penternakan burung puyuh

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Tiada sesiapa yang ingin gagal dalam perniagaan, namun gagal sekali bukan bermaksud gagal selamanya.

    Itulah prinsip yang dipegang oleh pengusaha Awang Mazlan bin Haji Maidin, 54, dari Kampung Masin, yang menjadikan kegagalan mengusahakan penternakan burung puyuh sebagai pembakar semangat untuk bangkit semula sehingga berjaya mengembangkan perniagaan puyuh dari 2013 hingga sekarang.

    Awang Mazlan ketika ditemui wartawan Media Permata di ladang Syarikat Perusahaan Mazlan bin Haji Maidin yang terletak di Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Batumpu, berkata sebelum menceburi bidang penternakan puyuh sekitar tahun 1990an, dia bekerja di sebuah syarikat penternakan ayam bahagian pemprosesan daging ayam.

    Menurutnya, burung puyuh merupakan unggas yang menjadi komoditi pertanian paling penting di Negara Brunei Darussalam. Daging burung puyuh adalah antara kegemaran kebanyakan orang selain daging ayam kerana daging burung puyuh lembut dan sedap dimakan.

    Proses penternakan

    Menyentuh mengenai proses penternakan, Awang Mazlan mengongsikan apabila anak burung puyuh sudah menetas, ia perlu dipindahkan tidak lebih dari 48 jam kerana dalam tempoh waktu tersebut, bekalan makanan yang dibekalkan oleh telur akan habis diserap badan anak burung puyuh yang baru menetas.

    Awang Mazlan menunjukkan jenis-jenis burung puyuh yang diternak di ladangnya. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Proses penternakan dibahagikan kepada tiga fasa. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Mazlan semasa ditemu bual media. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Telur-telur puyuh disimpan sebelum dimasukkan ke dalam bekas khas. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Mesin tempat penetasan telur dibina secara DIY untuk menjimatkan kos. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Awang Mazlan berkata syarikat telah mendapat sijil halal dan kebenaran untuk menyembelih burung puyuh. – Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi

    Anak burung puyuh, tambahnya, perlu dipilih dengan hati-hati, iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak mengalami kecacatan. Sekiranya ada anak burung puyuh yang cacat, ia akan dipisahkan dan ditempatkan di ruangan lain kerana lama-kelamaan ia akan mati disebabkan tidak dapat makan dan minum dengan sempurna.

    Oleh yang demikian, menurutnya, kualiti pengeluaran dan pembesaran anak burung puyuh dapat dipantau.

    Sementara itu, pemeliharaan anak burung puyuh yang baru menetas memerlukan ruang yang panas dan sesuai dengan menggunakan mesin pengeraman selama dua minggu.

    Jelasnya lagi, setelah anak burung puyuh berumur kira-kira dua minggu, kepanasan suhu akan dikurangkan cukup untuk mengawal kedinginan dalam ruang kandang.

    Model peralatan

    Awang Mazlan berkata model atau bentuk kandang burung puyuh ada bermacam-macam mengikut kesesuaian tempat atau ladang ternak.

    Dalam hal ini, menurutnya, apa yang penting bentuk atau model kandang harus mudah diselenggarakan dan dibersihkan kerana penyelenggaraan yang sempurna akan menghasilkan daging burung puyuh berkualiti tinggi.

    Di samping itu, beliau juga pernah mengikuti beberapa kursus di negara jiran mengenai penggunaan peralatan dan tatacara pembinaan kandang burung puyuh.

    “Jika menghadapi kesulitan, saya akan menghubungi beberapa pakar di negara jiran untuk bertanyakan masalah yang dihadapi dan alhamdulillah dengan adanya tunjuk ajar, masalah yang dihadapi dapat ditangani dengan baik,” ujarnya.

    Penjagaan daging burung puyuh

    Pembinaan kandang juga memainkan peranan penting dalam penternakan burung puyuh. Kawasan yang bersih dan selesa untuk burung-burung berkenaan dapat membantu menghasilkan daging atau telur yang berkualiti.

    Akan tetapi jika kandang burung tidak dijaga dengan baik, daging burung puyuh akan berbau hanyir disebabkan pengeluaran gas ammonia daripada kotoran burung puyuh yang terlalu banyak. Gas ammonia tersebut akan menyebabkan bulu burung puyuh luruh dan menyebabkan burung menjadi kurang subur.

    Awang Mazlan juga berkata daging burung puyuh mengandungi protein yang tinggi berbanding dengan daging ayam atau daging burung yang lain, di samping rendah lemak dan kolesterol.

    Sementara itu, telur burung puyuh pula, ujarnya, mempunyai nilai kandungan zat dan khasiat yang tinggi.

    Jenis-jenis burung puyuh

    Antara jenis burung puyuh yang diternak di ladang Syarikat Perusahaan Mazlan bin Haji Maidin ialah burung puyuh Itali, cortunix dan Jepun.

    Burung-burung puyuh ini antara pilihan ramai yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan penggemar burung puyuh.

    Cabaran

    Penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan banyak pihak termasuk pengusaha burung puyuh di negara ini memaksa mereka mencari ‘jalan keluar’ bagi memastikan perniagaan terselamat dan tidak menanggung kerugian besar.

    Cabaran yang dihadapi ketika itu adalah harga dedak meningkat mendadak dan beliau terpaksa mengurangkan jumlah burung puyuh serta pekerja.

    “Walau bagaimanapun, perniagaan saya mampu bertahan walaupun mendapat sedikit kerugian,” katanya.

    Menurutnya, kini terdapat 4,000 ekor puyuh di ladang yang dapat menghasilkan sebanyak 1,000 hingga 1,500 biji telur sehari untuk pasaran tempatan.

    Setelah berusaha lebih 20 tahun dalam bidang penternakan itu, Awang Mazlan berjaya mengedarkan sebanyak 50 hingga 100 kontena telur puyuh dan daging ke 20 pasar raya dalam negara.

    Nasihat

    Sebelum mengakhiri temu bual, Awang Mazlan menyarankan para belia tidak terlalu memilih bidang pekerjaan, sebaliknya cuba menceburkan diri dalam aktiviti yang difikirkan boleh memberi manfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

    Beliau berminat untuk mengambil anak tempatan sebagai pekerja buruh untuk mengusahakan penternakan burung puyuh, namun pengambilan pekerja tempatan di ladangnya masih kekurangan.

    Tambahnya, mereka juga perlu berkecimpung dalam bidang kemahiran yang difikirkan boleh menjana pendapatan sendiri, contohnya dalam bidang pertanian, tanpa terlalu memilih pekerjaan berdasarkan kemahiran atau kelulusan yang dimiliki.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda