Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Celik kewangan kunci kestabilan ekonomi

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Celik kewangan adalah amat penting dalam kehidupan dan pembangunan sesebuah negara di mana rakyat yang celik wang biasanya lebih bijak dalam mengurus kewangan harian, dengan tidak terlalu terbeban dengan hutang serta mempunyai kemampuan untuk menyimpan bagi jangka masa panjang.

    “Ia bukan sahaja dapat memastikan kita menikmati taraf hidup yang baik atau selesa, malah membolehkan kita membuat keputusan kewangan yang bijak untuk keperluan harian, sama ada untuk urusan peribadi atau pun perniagaan.”

    Perkara itu ditekankan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam ucapannya semasa Majlis Pelancaran Financial Fun Fair BDCB ke-5 yang berlangsung di Jerudong Park Colonnade, kelmarin.

    Beliau menyatakan hasil daripada inisiatif kewangan itu, kita boleh menghindari daripada bebanan hutang yang tidak terkawal, dapat menabung dan melabur dengan bijak serta mampu menyediakan dana kecemasan untuk mengatasi situasi yang tidak dijangka.

    “Peniaga yang celik kewangan pula mampu mengawal kos operasi, membuat pelaburan yang memberikan pulangan terbaik serta mampu mengembangkan perniagaan,” ulas beliau lagi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh semasa bergambar ramai bersama para pegawai Standard Chartered Brunei. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah semasa mengunjungi petak pameran BIBD. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    Persembahan tatu oleh kumpulan brass Pasukan Polis Diraja Brunei.– GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    “Ini sudah tentu dapat mengurangkan tekanan dan kebimbangan kewangan serta meningkatkan keupayaan kita untuk mencapai matlamat hidup dan aspirasi peribadi.”

    Beliau seterusnya menyatakan bahawa daripada aspek ekonomi negara, apabila individu dan perniagaan membuat keputusan kewangan yang bijak, mereka cenderung berbelanja dengan lebih berhemah, lantas membawa kepada kestabilan ekonomi.

    Selain itu, pelaburan yang bijak pula membantu menggerakkan dana ke sektor yang lebih produktif, menyumbang kepada inovasi dan meningkatkan produktiviti.

    “Ini membolehkan perniagaan berkembang dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

    “Dengan pengurusan kewangan yang lebih baik, individu dan perniagaan akan lebih bersedia berdepan ketidakpastian ekonomi. Pengetahuan dan kelakuan yang positif ini seterusnya ekan menyumbang kepada kestabilan dan pertumbuhan ekonomi negara,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Sementara itu, menyentuh mengenai tema Financial Fun Fair, Celik Kewangan Digital, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew berkata ia bertujuan untuk memperkasakan individu dan keluarga dengan kemahiran penting untuk menggunakan perbankan dalam talian, transaksi digital dan keselamatan siber dalam era digital masa kini.

    “Lebih-lebih lagi dengan pengintegrasian pelbagai fungsi sektor kewangan secara digital yang digunakan di dalam kehidupan seharian kita, pemahaman tentang alat-alat digital ini akan membantu kita kekal yakin dan selamat dalam persekitaran yang sentiasa berubah dan melindungi diri daripada penipuan kewangan dalam talian.”

    Beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua pihak berkepentingan yang terlibat dalam menjayakan fun fair berkenaan atas komitmen mereka dalam mempromosikan celik kewangan dan pengurusan kewangan yang bertanggungjawab.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda