Thursday, December 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Celine derita sindrom kejang otot

    Selepas beberapa tahun berdepan masalah kesihatan, penyanyi tersohor, Celine Dion mendedahkan menghidap Stiff Person Syndrome (SPS) yang menyebabkan kekejangan otot berterusan.

    Berkongsi video penuh emosi melalui aplikasi TikTok, penyanyi My Heart Will Go On ini mendedahkan penyakit berkaitan gangguan neurologi serta jarang berlaku yang dihidapinya itu, sukar diubati.

    “Seperti yang awda semua sudah tahu, saya bukanlah seorang yang suka berahsia, cuma saya belum bersedia untuk berkata apa-apa sebelum ini.

    “Tetapi, kali ini, saya sudah bersedia. Sudah sekian lama saya berdepan dengan masalah kesihatan dan amat sukar untuk saya hadapi cabaran serta berkongsi apa yang sudah saya lalui.

    “Ketika saya dan pasukan sedang cuba memahami penyakit ini, akhirnya saya mendapat tahu ia berpunca daripada SPS.

    Berikutan keadaan kesihatannya, Celine terpaksa menyusun semula jadual siri jelajah di Eropah yang sepatutnya berlangsung tahun depan, kepada 2024. – Agensi

    “Penyakit kekejangan otot saya ini sukar dikawal hingga menjejaskan kehidupan seharian saya.

    “Ada ketika penyakit itu menyukarkan saya untuk berjalan.

    “Malah, ia menghalang saya menggunakan pita suara untuk menyanyi seperti biasa.

    “Adalah sesuatu yang melukakan untuk saya memaklumkan perkara ini kepada awda semua,” luah Celine dalam nada sebak.

    Berikutan keadaan kesihatannya itu, penyanyi bervokal ampuh ini terpaksa menyusun semula jadual siri jelajah di Eropah yang sepatutnya berlangsung tahun depan, kepada 2024.

    “Disebabkan penyakit saya ini, saya terpaksa menunda tarikh siri jelajah Eropah yang sepatutnya berlangsung, Februari depan.

    “Saya mempunyai pasukan doktor terbaik untuk merawat saya dan anak-anak tercinta yang tidak pernah jemu menyokong dan memberi harapan kepada ibunya,” katanya.

    Biarpun positif keadaan kesihatannya akan kembali pulih seperti biasa, namun, Celine mengaku ia bukanlah sesuatu yang mudah digapai. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda