Keluarga ikon pop dunia, Celine Dion tidak pernah berputus asa dan sentiasa berharap akan ada keajaiban dalam meringankan penderitaan penghibur yang didiagnosis sindrom orang kaku atau stiff person syndrome (SPS) sejak Disember tahun lalu.
Menerusi temu bual bersama majalah Hello! Canada edisi September, kakak kepada penyanyi berusia 55 tahun itu, Claudette memaklumkan, adiknya itu juga seorang yang sangat tabah dalam melawan penyakit dihidapinya.
“Beliau seorang wanita yang sangat kuat dan akan melakukan apa sahaja untuk pulih. Meskipun tidak banyak yang kami tahu mengenai penyakitnya, tetapi kami yakin pasti akan menemui penawarnya.
“Tidak banyak dapat kami lakukan untuk meringankan penderitaannya, namun kami sekeluarga tetap bersamanya dalam mengharungi detik sukar ini,” kata Claudette.
Sementara itu, berkongsi perkembangan terkini kesihatan penyanyi The Power Of Love itu, Claudette berkata, adiknya berterusan mengalami kekejangan otot yang sukar untuk dikawal.
“Mungkin awda pernah melihat seseorang yang sering terjaga ketika sedang tidur akibat mengalami kekejangan otot di bahagian kaki atau betis.
“Begitulah juga keadaan dialami Dion, tetapi ia berlaku pada semua bahagian anggota berotot,” ujarnya dalam nada sedih.
Pada Disember 2022, penyanyi bervokal ampuh itu memuat naik video sebak di Instagram (IG) memaklumkan baru sahaja didiagnosis dengan sindrom SPS dan tidak dapat meneruskan konsert siri jelajah Eropah dan konsert musim bunga 2023.
Menerusi perkongsian sama, penyanyi kelahiran Kanada itu memberitahu serangan SPS mengakibatkan ototnya tidak dapat dikawal sehingga mengganggu percakapan dan mengalami masalah berjalan. – Agensi