COPENHAGEN, 29 JULAI – Celtic gagal beraksi dalam Liga Juara-Juara musim ini, selepas tumpas 1-2 dalam masa tambahan kepada wakil Denmark, Midtjylland menyebabkan kelab dari Scotland itu tersingkir di pusingan kedua kelayakan dengan agregat 3-2.
Celtic, yang juga kelab Britain pertama muncul juara saingan Eropah itu pada 1967, perlu menyalahkan diri sendiri selepas gagal mempertahankan gol awal sekali gus menyebabkan mereka hanya berpeluang untuk beraksi di Liga Europa namun perlu melepasi halangan wakil Republik Czech, Jablonec.
Callum McGregor meledak gol untuk memberikan mereka sedikit harapan, selepas melakukan sepakan voli berpunca daripada sepakan penjuru tiga minit sebaik sahaja separuh masa kedua bermula.
Kelab yang dibimbing jurulatih baharu dari Australia, Ange Postecoglou, tersentak selepas Midtjylland berjaya menyamakan kedudukan selepas sejam aksi berlangsung melalui Awer Mabil.
Celtic terus ketinggalan selepas empat minit aksi masa tambahan bermula apabila Raphael Onyedika melakukan rembatan dari jarak dekat.
Kelab Denmark itu sekarang akan berdepan pasukan berpengalaman dari Belanda, PSV Eindhoven yang menang 2-1 di tempat lawan sekali gus menyingkirkan Galatasaray dengan agregat 7-2.
Dalam aksi lain menyaksikan Sparta Prague bangkit dari ketinggalan 1-2 di tempat lawan sebelum mencatat kemenangan 2-0 di laman sendiri.
Juara 1991, Red Star Belgrade pula membelasah wakil Kazakhstan, Kairat 5-0 untuk mara dengan agregat 6-2.
Kelab dari Greece, Olympiakos menang 1-0 ke atas pasukan Azerbaijan, Nefthci Baku untuk mara dengan agregat 2-0. – AFP
