Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Celtic tersingkir di Liga Juara-juara

    PARIS, 27 OGOS – Juara Scotland, Celtic, tersingkir daripada pusingan play-off Liga Juara-juara, semalam, selepas gagal menyempurnakan tiga sepakan penalti dalam kekalahan memalukan kepada kelab Kazakhstan, FC Kairat.

    Juara Liga Perdana Kazakhstan itu sebelum ini telah melalui tiga pusingan kelayakan dan kini melangkah buat pertama kali ke undian peringkat kumpulan Liga Juara-juara pada Khamis ini.
    Di sana mereka berpeluang berdepan gergasi bola sepak seperti Paris Saint-Germain dan Real Madrid.

    Sementara itu, Celtic terpaksa berpuas hati dengan tempat di Liga Europa.

    Dengan kedua-dua pasukan gagal menghasilkan sebarang gol dalam 210 minit permainan sepanjang dua perlawanan, penentuan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti yang dimenangi Kairat 3-2.

    Celtic, yang pernah menjuarai Piala Eropah pada 1967, kini tersingkir ke Liga Europa dan terpaksa menempuh perjalanan sejauh 3,500 batu pulang dari Kazakhstan dengan penuh rasa kecewa selepas terikat tanpa jaringan dalam dua perlawanan serta tewas dalam penentuan penalti yang hambar.

    “Ia amat mengecewakan dan saya benar-benar bersimpati dengan para penyokong yang datang dari jauh untuk berada di sini, dengan segala usaha dan komitmen yang mereka tunjukkan,” kata pengurus Celtic, Brendan Rodgers.

    “Kami amat kecewa untuk mereka, begitu juga untuk diri kami sendiri.”

    Penyerang Jepun, Daizen Maeda, gagal menyempurnakan sepakan penalti penentu selepas Celtic dikejutkan dengan ketangkasan penjaga gol muda Kairat berusia 21 tahun, Temirlan Anarbekov, yang berjaya menepis sepakan pertama Adam Idah dan cubaan lemah Luke McCowan pada giliran kedua.

    Rodgers turut menyalahkan kualiti padang sebagai punca kegagalan pasukannya menjaringkan gol, sementara pasukan tuan rumah pula mendapat sokongan padu dalam suasana penuh bertenaga.

    “Padang itu sangat teruk. Dari segi pertahanan kami baik, tetapi tidak mampu mencipta peluang untuk menjaringkan gol,” kata Rodgers. – AFP

    Pemain Celtic, Adam Idah berbincang dengan pengadil, Maurizio Mariani semasa perlawanan bola sepak pusingan kedua play-off Liga Juara-juara antara Kairat dan Celtic di Stadium Ortalyk, Almaty, Kazakhstan, pada 26 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda