Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Celtics kembali catat keputusan menang

    LOS ANGELES, 23 NOV – Boston Celtics kembali mencatat kemenangan dengan keputusan 119-116 ke atas Milwaukee Bucks dalam saingan teratas Eastern Conference NBA semalam ketika Dallas Mavericks menggagalkan usaha luar biasa LeBron James untuk menewaskan Los Angeles Lakers 104-101.

    Celtics mengakhiri rentetan enam kemenangan berturut-turut pada Isnin lalu selepas mengalami kekalahan mengejutkan kepada pasukan paling bawah, Charlotte Hornets.

    Bagaimanapun Boston memastikan tidak ada ulangan kejadian tersebut menentang Giannis Antetokounmpo dan pasukan pelawat, Bucks dalam pertembungan semalam di TD Garden, menguasai perlawanan pada suku pertama untuk meraih kemenangan dari awal hingga akhir.

    Celtics memimpin selepas membuka perlawanan dengan pendahuluan awal 10-0, meskipun Bucks bangkit pada suku keempat untuk mendapatkan mata satu digit, Boston bersatu semula dan mengakhiri perlawanan dengan kemenangan.

    Jaylen Brown dari Boston menjaringkan 26 mata dengan sokongan daripada Jayson Tatum, yang menamatkan dengan 23 mata, 11 rebound dan empat assist.

    Kristaps Porzingis menambah 21 mata pada perlawanan malam itu apabila tidak kurang daripada tujuh pemain Boston mencatatkan jumlah mata dua digit ketika Celtics mengekalkan rekod tanpa kalah di tempat sendiri, meningkat kepada 12-3.

    “Hanya usaha berpasukan. Kami bangkit dan bersatu semula dari perlawanan sebelum ini,” kata Tatum kepada ESPN selepas meraih kemenangan.

    “Kadang-kadang awda perlu kalah dalam perlawanan untuk bersatu semula dan kembali fokus. Saya suka cara kami memulakan permainan. Mereka berlari lewat, mereka pasukan yang bagus, tetapi saya suka cara kami bertindak balas pada suku keempat,” katanya. – AFP

    Pemain Celtics, Payton Pritchard (kiri) beraksi semasa separuh masa kedua di TD Garden pada 22 November 2023 di Boston, Massachusetts. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...