Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 26 April – Seorang pelanggan yang memandu sebuah kereta salun telah merempuh kotak pam minyak ketika hendak mengisi minyak menyebabkan kebakaran di Stesen Minyak Penyurat Haji (PHA) Abu Bakar bin Jambol di Kampung Suran, Pekan Tutong, pagi tadi.
Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Tutong, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) dan Unit Kecemasan dan Kemalangan, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong telah bergegas ke tempat kejadian.
Dengan kecekapan dan tindak balas daripada kakitangan stesen tersebut, insiden kebakaran tersebut dapat ditangani dan dipadamkan dalam tempoh kurang daripada 30 minit.
Senario kejadian tersebut merupakan salah satu daripada pelan latihan kecemasan yang dikelolakan oleh Stesen Minyak PHA Abu Bakar bin Jambol bagi menguji dan menilai persediaan dan tindak balas ahli pertolongan cemas serta kakitangan stesen.
Latihan kecemasan tersebut juga merupakan kerjasama dan bantuan daripada beberapa buah agensi kerajaan dan swasta iaitu daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan PDB, Unit Kecemasan dan Kemalangan, Hospital PMMPMHAMB dan Brunei Shell Marketing (BSM).
Menurut Pengurus Stesen Minyak PHA Abu Bakar bin Jambol, Haji Adnan bin Pehin Datu Panglima Haji Abu Bakar, objektif latihan adalah untuk menguji pelan tindakan kecemasan dan memastikan semua pekerja arif dengan tugas-tugas mereka dalam menangani sebarang kejadian di stesen minyak.



Selain itu, dengan latihan tersebut, ia juga dapat meningkatkan kefahaman dan kesediaan dalam menghadapi kecemasan, memberikan kesedaran dalam kalangan pekerja sambil me-ningkatkan pengetahuan, menanamkan sikap bertanggungjawab menghadapi kecemasan dan mengeratkan perhubungan di antara agensi-agensi yang berkaitan dengan pekerja stesen minyak.
Turut hadir menyaksikan latihan kecemasan itu ialah perwakilan daripada kakitangan BSM, Eksekutif Pematuhan Runcit (Retail Compliance Executive), Pengiran Haji Shariful bin PSI Pengiran Haji Ismail, Bahagian Perhubungan Awam Balai Bomba Tutong, Pegawai Balai Halimahtul Halimah binti Abdullah Chin dan ahli Lembaga Pengarah Stesen Minyak PHA Abu Bakar bin Jambol, Haji Abdul Rahim bin Haji Abdul Manaf.
Selepas latihan tersebut, Pengiran Haji Shariful memberi komen positif dengan menyatakan bahawa latihan yang diadakan itu adalah baik untuk para kakitangan stesen namun menasihatkan mereka supaya memperbaiki kesilapan yang ada terutama apabila berlakunya kebakaran yang belum dapat dipadamkan.
Mereka tidak sepatutnya kembali di dalam kawasan stesen minyak dan terdapat beberapa kakitangan masih lagi dalam keadaan panik dalam menangani masalah tersebut, katanya.
Walau bagaimanapun, Pengiran Haji Shariful menjelaskan, dengan adanya latihan tersebut, pekerja-pekerja dapat mempelajari kesilapan mereka dan cara-cara menangani situasi atau sebarang kejadian yang berlaku di stesen minyak.
Pengiran Haji Shariful seterusnya memuji kecekapan pihak-pihak keselamatan dalam menangani situasi kecemasan dalam menangani situasi kecemasan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Cawangan Tutong, Pasukan PDB dan Unit Kecemasan dan Kemalangan, Hospital PMMPMHAMB.
Beliau juga menasihati kakitangan stesen minyak khususnya di negara ini supaya mengadakan latihan yang kerap pada bila-bila masa dengan mempelbagaikan lagi senario atau insiden agar kakitangan stesen dapat mempelajari serta menangani situasi kecemasan dengan cekap.