KUALA LUMPUR – Bagi sesetengah kaki pancing, cengkerik dalam tin sering digelar sebagai ‘umpan sandaran’ atau ‘umpan kecemasan.’
Cengkerik dalam tin tersebut ditutup secara hermetik dan melalui proses pensterilan, sama seperti makanan dalam tin biasa.
Selagi penutupnya tidak dibuka, ia boleh disimpan untuk tempoh yang sangat lama di dalam kotak pancing atau kereta tanpa perlu risau akan kerosakan.
Ia sangat berguna, misalnya, ketika awda ‘balik kampung’ dan ternampak parit atau kolam di kampung yang kelihatan penuh dengan ikan.
Walaupun awda mungkin mempunyai joran dan kekili yang sedia ada dalam kereta, umpan tiruan mungkin kurang efektif dan umpan segar mungkin sukar dicari. Ketika inilah cengkerik dalam tin boleh menyelamatkan keadaan.
Awda boleh membeli satu atau dua tin melalui platform beli-belah dalam talian kegemaran awda dengan harga antara RM5 hingga RM8, bergantung kepada penjual.
Tiada jenama tertentu untuk produk tersebut; kebanyakan label hanya tertulis Canned Crickets.
PENTING UNTUK DIKETAHUI
Cengkerik tersebut dipasarkan sebagai makanan haiwan peliharaan seperti cicak, ikan, ular, burung dan amfibia, jadi ia hadir dalam pelbagai saiz.
Sesetengah tin mengandungi cengkerik kecil, hanya sekitar 1cm panjang, sesuai untuk memberi makan haiwan peliharaan kecil.
Namun, bagi pemancing, memasang cengkerik sekecil ini pada mata kail boleh menimbulkan cabaran.
Carilah tin yang berlabel Extra Big untuk mendapatkan cengkerik berukuran sekitar 3cm – saiz yang ideal untuk memancing.
TEKNIK MEMASANG CENGKERIK
Cengkerik dalam tin telah dimasak semasa proses pensterilan – bayangkan tin-tin ini dipanaskan hingga suhu melebihi 100°C. Oleh itu, ia memerlukan teknik khusus untuk dipasang pada mata kail.
Bahagian toraks, iaitu bahagian badan cengkerik yang paling kukuh, adalah tempat terbaik untuk dicucuk.
Cangkukkan mata kail secara melintang pada bahagian ini untuk memastikan umpan tetap utuh daripada gangguan ikan kecil.
Untuk teknik pancing dasar, awda boleh menyusun tiga atau lebih cengkerik sepanjang batang mata kail.
Bagi teknik pancing apungan atau memancing di sungai, cara yang lebih baik adalah mencangkuk mata kail melalui kepala cengkerik, meluncurkannya melalui lengkung dan keluar di bahagian abdomen.
Teknik tersebut agak rumit jika awda mengalami masalah arthritis atau penglihatan, tetapi ia membantu memastikan umpan tetap kukuh walaupun dalam arus deras. – ANN/The Star