BANGKOK, 31 Jan – Pemilik pusat membeli-belah terbesar Thailand, Central Group, akan melabur sebanyak AS$200 juta untuk Grab, syarikat pengangkutan dan penghantaran makanan Singapura, kata perusahaan itu hari ini,
Dengan pelaburan itu Central, yang juga rantaian hotel dan pasar raya utama yang peniagaannya semakin berkembang ke Eropah, akan memperoleh pegangan tidak dikawal dalam entiti Grab di Thailand.
Tos Chirathivat, Ketua Pegawai Eksekutif Central Group dan dari keluarga terkaya kedua negara itu dengan kekayaan yang dianggarkan oleh Forbes sebanyak AS$21 bilion, berkata pembelian akan memberikan akses kepada kedai dan akses hotel kepada pelanggan di mana sahaja mereka berada.
“Ia (Grab) telah membina platform baharu yang terdiri daripada penghantaran makanan, pembayaran dan perkhidmatan lain,” katanya.
“Jadi, kita boleh berhubung dengannya, mereka boleh menjual atau membeli produk di pusat membeli-belah kami dan menghantarnya pulang.”
Beliau tidak mendedahkan berapa banyak unit Grab yang dibeli dengan AS$200 juta itu. Grab adalah peneraju pasaran dalam industri pengankutan rantau Asia Tenggara, setelah membeli perniagaan serantau Uber yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada tahun lalu.
CEO dan pengasas bersama Grab, Anthony Tan berkata perjanjian Central membawa bersama ‘juara runcit tempatan’ Thailand dengan ‘juara teknologi tempatan’, dan akan mengukuhkan kedudukan perkhidmatan itu sebagai ‘aplikasi harian’ Thailand.
Grab mempunyai cita-cita besar untuk menghubungkan pengguna serantau dalam aplikasinya dan memasuki usaha bersama dengan peruncit utama. – AFP