Central retail lancar tawaran awam terbesar

BANGKOK, 20 FEB – Konglomerat Thai Central Retail melancarkan tawaran awam (IPO) terbesar negara hari ini, menawarkan modal pasaran berjumlah AS$8.1 bilion dalam satu pertaruhan ke atas ekonomi meleset yang kini terjejas oleh wabak koronavirus COVID-19.

Kebanyakan warga Thai mengunjungi sebuah kedai setiap hari yang dimiliki oleh Central, empayar yang diuruskan oleh keluarga yang mempunyai ratusan gedung membeli-belah, elektronik, kedai runcit dan kedai kemudahan 24 jam di seluruh negara.

Saham dalam Central Retail Corporation (CRC) ditawarkan pada 42 baht pada pagi ini, tetapi hanya mencatat pemerolehan sebanyak satu perempat baht dalam perniagaan awal, dengan syarikat berhasrat mengumpul 71 bilion baht.

“CRC berasa bangga untuk menjadi IPO terbesar negara,” kata ketua eksekutif Yol Phokasub.

Wang yang dikumpul tersebut akan membayar “perkembangan perniagaan dan pengubahsuaian kedai,” tambah beliau.

Amat kaya dan berpengaruh, firma yang ditubuhkan oleh keluarga Sino-Thai Chirathivat selepas Perang Dunia Kedua, telah melancarkan kempen perbelanjaan luar negara, memperoleh atau bergabung dengan jenama membeli-belah mewah di Itali, Jerman dan Switzerland.

Bursa Saham Thailand berkata tawaran awam awal meletakkan CRC di kalangan 12 syarikat tersenarai terbesar di Thailand.

Central telah pun menguasai jalan-jalan di Thailand tetapi terdesak untuk menembusi pasaran jualan atas talian yang sedang berkembang pesat.

Kumpulan itu menerima sokongan diraja pada 2005, satu pengiktirafan oleh istana Thailand yang hanya dikhaskan kepada konglomerat terbesar. – AFP

Ahli lembaga dan para hadirin bergambar tatkala Central Retail Corporation memulakan perniagaan sebagai IPO terbesar negara di Bursa Saham Thailand di Bangkok kelmarin. – AFP