Friday, January 17, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    CEO Harimau Malaya mahu cipta legasi berkekalan

    KUALA LUMPUR, 16 JAN – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Robert Friend berkata beliau tidak berada di Malaysia untuk memburu kejayaan jangka pendek, sebaliknya berharap dapat mencipta legasi berkekalan untuk bola sepak negara itu.

    Friend yang memulakan tugasnya secara rasmi di Wisma FAM semalam, menggambarkan Harimau Malaya sebagai ‘gergasi yang sedang tidur’ dan berkata terdapat banyak perkara yang sudah tersedia dan beliau teruja untuk bekerja bagi mengembangkan sukan bola sepak di Malaysia. Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan Kanada itu ingin sekali mengetahui mengapa pasukan Malaysia berada di ranking ke-132 dunia, selain punca skuad remaja gagal melayakkan diri ke Piala Asia.

    “Pada masa ini, saya masih dalam fasa penemuan. Kami perlu memahami sebab-sebabnya, saya rasa kita mempunyai banyak persoalan, dari situ kita boleh mula membina rancangan, strategi dan mencari jalan untuk membawa strategi jangka panjang.

    “Saya di sini untuk membina model jangka panjang yang mampan dan ini memerlukan masa. Ia seperti membina rumah, kita perlu meletakkan asas terlebih dahulu kerana jika tidak membina asas, ia tidak akan bertahan lama.

    “Saya di sini untuk mencari jawapan dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk kejayaan bola sepak dan berharap suatu hari nanti melihat Malaysia beraksi di Piala Dunia, itu adalah impian saya,” katanya dalam video yang dikongsikan di media sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). – Bernama

    Gambar bertarikh 20 Disember 2024 menunjukkan Skuad Harimau Malaya memberikan penghormatan selepas beraksi menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda