TOKYO, 11 Julai – Mark Karpeles, bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) tukaran Bitcoin yang muflis MtGox, mengaku tidak bersalah hari ini tatkala perbicaraannya bermula di Tokyo atas dakwaan yang dikaitkan dengan kehilangan mata wang alam maya bernilai ratusan juta dolar.
Warga Perancis itu, pernah menjadi ketua platform perniagaan Bitcoin paling sibuk di dunia, yang dilaporkan tinggal di emper berharga AS$11,000 sebulan, sedang menghadapi dakwaan pembersihan wang dan manipulasi data.
Lelaki berusia 32 tahun itu pertama ditahan pada Ogos 2015 dan dibebaskan dengan ikat jamin hampir setahun kemudian berhubung dakwaan beliau memanipulasi data dan menggelapkan berjuta-juta Bitcoin – kehilangan yang menjejas reputasi mata wang digital.
Hari ini, ia mengambil masa hampir setengah jam untuk pendakwaan dibacakan di bilik mahkamah Tokyo.

Karpeles didakwa memanipulasi data komputer untuk “menyembunyikan perbelanjaan peribadi” termasuk kira-kira 6 juta yen (AS$52,500) yang dipindahkan dari satu akaun syarikat untuk membayar katil kanopi, mahkamah mendengarkan.
“Saya bersumpah saya tidak bersalah,” beritahu Karpeles, bercakap dalam bahasa Jepun, kepada tiga panel hakim yang mendengar kesnya.
“Kemuflisan MtGox membawa banyak kesan buruk kepada kebanyakan orang dan, sebagai CEO pada masa itu, saya meminta maaf dari lubuk hati saya.”
Tukaran yang berpangkalan di Tokyo itu, yang mendakwa ia pernah menganjur 80 peratus daripada perniagaan Bitcoin global, ditutup pada 2014 selepas mengaku 850,000 syiling, bernilai kira-kira AS$480 juta pada masa itu, telah hilang daripada bilik kebalnya. – AFP