SAN FRANCISCO, 10 JULAI – Linda Yaccarino meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) X, platform media sosial yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, kelmarin selepas dua tahun menerajui syarikat milik Elon Musk itu.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform berkenaan, dia berkata keputusan untuk berundur dibuat selepas melalui ‘dua tahun yang luar biasa’ menerajui syarikat tersebut melalui proses transformasi besar.
Tiada sebab rasmi diberikan atas peletakan jawatannya, namun pengumuman itu dibuat ketika chatbot kecerdasan buatan milik Musk, Grok, dikecam kerana kenyataan berunsur anti-Semitik yang memuji Adolf Hitler dan menghina Islam dalam beberapa hantaran berasingan di platform X.
Dalam balasan ringkas kepada kenyataan Yaccarino di X, Musk menulis, “Terima kasih atas sumbangan awda.”
Yaccarino – bekas eksekutif pengiklanan NBCUniversal – mula menyandang jawatan CEO X pada Jun 2023, menggantikan Musk yang memegang peranan tersebut sejak pembelian Twitter olehnya bernilai AS$44 bilion pada Oktober 2022.

Pelantikannya dibuat ketika Musk mahu memberi tumpuan kepada pembangunan produk dan pada masa yang sama membawa masuk pengurus media berpengalaman untuk memulihkan keyakinan para pengiklan.
Sejak pengambilalihan oleh Musk, syarikat itu menghadapi pelbagai cabaran, termasuk perpindahan besar-besaran pengiklan dan kebimbangan terhadap dasar moderasi kandungan.
Pengkritik mendakwa berlaku peningkatan kandungan ganas, perkauman, anti-Semitik dan penularan maklumat palsu di platform X.
Latar belakang Yaccarino dalam bidang pengiklanan dilihat penting dalam usaha memulihkan hubungan perniagaan dengan para pengiklan.
Dalam kenyataannya, Yaccarino memuji ‘pemulihan perniagaan bersejarah’ yang dicapai oleh pasukan X dan menyatakan bahawa platform itu kini memasuki ‘bab baharu’ bersama xAI, syarikat kecerdasan buatan milik Musk.
Pada bulan Mac lalu, xAI telah mengambil alih X melalui perjanjian pertukaran saham sepenuhnya, yang menilai platform media sosial itu pada AS$33 bilion, sekali gus menjadikannya anak syarikat kepada syarikat AI milik Musk. – AFP